4 Calon Pengganti Syamer Kutty Di Skuad Kebangsaan
Harimau Malaya
Khairul / MakanBola
Advertisements

Umum mengetahui berita Syamer Kutty Abba menjalani rawatan lutut di Barcelona dan kita juga sedar bahawa kecederaan lutut adalah salah satu kecederaan yang mengambil masa lama untuk pulih. Setakat ini tiada jangkaan tempoh masa – bilakah Syamer dapat kembali beraksi.

King’s Cup 2022

Harimau Malaya sudah mengesahkan bakal bertanding pada kejohanan 4 penjuru King’s Cup di Chiang Mai, Thailand pada penghujung September ini.

Ia adalah sebuah kejohanan yang melibatkan penyertaan pasukan negara, Thailand selaku tuan rumah, Tajikistan serta Trinidad & Tobago.

Advertisements

Mengambil kira faktor pemulihan rawatan lutut yang lama, sepertinya khidmat Syamer Kutty Abba terpaksa dipikul individu lain pada kejohanan tersebut.

Peranan Penting Syamer

Meskipun jarang bermain sebagai kesebelasan utama di JDT, namun Syamer tetap mendapat tempat dalam skuad Kim Pan Gon kerana kualiti dan abiliti teknikal beliau. Syamer adalah metronom Harimau Malaya; pemain yang mendapat julukan “lelaki tanpa jantung” kerana berstamina tinggi.

Peranan Syamer Kutty dalam skuad Pan Gon amat unik. Pada pandangan saya; beliau bukanlah Defensive Midfielder yang terlalu ‘terikat’ dengan urusan bertahan – yang dituntut memenangi Second Ball, menutup lorong hantaran; memintas hantaran Cut Back lawan, membentes dan menjatuhkan lawan demi memenangi bola serta melindungi barisan pertahanan.

Advertisements

Syamer melakukan itu tetapi beliau bukan secara ‘text book’ begitu. Syamer lebih tenang dengan Game Reading yang bijak – sering berada di posisi yang tepat di saat yang tepat. Bukan itu sahaja, beliau juga kerap melakukan larian-larian daripada belakang untuk membantu barisan serangan.

Ada beberapa perlawanan Kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang lalu di mana mungkin Pan Gon sendiri yang mengarahkan Syamer agar tidak melakukan larian-larian sebegitu meskipun beliau mampu dan bagus dalam melakukannya demi kestabilan pasukan.

Syamer Kutty Abba pada saya adalah baka unik Defensive Midfielder (dengan tambahan unsur Box to Box) yang selesa beraksi dalam sistem Double Pivot (Double No.6) dan mampu juga untuk beraksi sebagai Single Pivot dengan kawalan bola yang sangat baik dan bermutu daripada beliau.

Advertisements

Calon-Calon Pengganti Syamer

Memakai logik – pasukan yang berada di kedudukan atas liga adalah pasukan yang beraksi dengan Defensive Midfielder yang baik, yang membantu pasukannya berada di kedudukan itu.

Justeru, jika kita melihat daripada skuad JDT; sudah tentu nama yang terbersit adalah Natxo Insa dan Hong Wan.

  1. Hong Wan

Saya memilih untuk realistik sahaja. Hong Wan mungkin lebih mudah terpilih berbanding Insa. Tidak diketahui sebab-musabab murni mengapa nama Insa sering disisihkan sebelum ini namun pada pandangan ikhlas saya – sudahlah.

Advertisements

Sudahlah kita berharap pada sesuatu yang tidak pasti. Lebih baik pengharapan itu kita pindahkan pada Hong Wan yang sudah beberapa kali menggalas tugas Defensive Midfielder di JDT ketika Insa dilanda kecederaan atau tidak dapat bermain.

Meskipun tidak setenang dan ‘sesempurna’ Insa namun Hong Wan di landasan yang tepat untuk menuju ke sana. Benar; ada perlawanan Hong Wan beraksi dengan baik sekali tetapi ada juga perlawanan yang kita lihat beliau sedikit bergelut untuk ‘mencengkam’ bahagian tengah.

Namun begitu, tidak salah memberikan peluang kepada Hong Wan yang masih muda untuk menimba pengalaman bermain di peringkat tertinggi. Meski Hong Wan bukanlah baka yang seperti Syamer tetapi siapa tahu Pan Gon boleh menggunakan beliau dalam dimensi berbeza.

  1. Gary Steven Robbat

Sabah FC adalah pasukan nombor dua di Liga Super di belakang JDT. Gary sejak kebelakangan ini mula dimainkan Datuk Ong Kim Swee secara kerap dalam kesebelasan utama, diselangselikan dengan Park Tae-su bergantung pada situasi semasa atau lawan yang mereka hadapi.

Peminat bola sepak tegar Malaysia tahu betapa bagusnya Gary dalam peranan Defensive Midfielder suatu ketika dahulu, juga di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Namun setelah agak lama ‘terpendam’ Gary kini perlahan-lahan memanjat ke prestasi terbaik beliau suatu ketika dahulu. Dalam beberapa perlawanan bersama Sabah FC kelihatan Gary dapat mengemudi barisan tengah dengan baik sebagai Defensive Midfielder.

Malah gaya permainan beliau sedikit sebanyak sama seperti Syamer – Gary gemar juga sesekali melakukan larian ke hadapan setelah lama berada di belakang bola. Gary juga sedikit lebih ‘kasar’ berbanding Syamer dengan bentesan-terjahan keras agar lawan tidak melepasi beliau.

Satu kelemahan ketara Gary (namun masih mudah untuk diperbaiki) adalah kelajuan. Jelas dilihat Gary agak perlahan ketika ini berbanding dahulu dengan fizikal beliau sedikit ‘besar’. Namun itu bukan masalah besar jika kena gaya mengakalinya.

  1. Saiful Ridzuwan Selamat

Saiful Ridzuwan Selamat yang kini bersama NSFC kembali menikmati karier bola sepak yang semua pemain inginkan – bermain week in week out secara konsisten. Beliau pernah mengalami penurunan prestasi ketika di Melaka United dan jarang dimainkan di sana.

Saiful Ridzuwan juga pernah dibimbing Datuk Ong Kim Swee ketika menyarung jersi Harimau Muda A suatu ketika dahulu sebelum berhijrah ke Selangor (2015-2018). Di Selangor beliau kerap diturunkan dalam kesebelasan utama sebagai Defensive Midfielder.

Memiliki sosok tubuh kecil membentuk gaya permainan Saiful Ridzuwan tipikal pemain-pemain Defensive Midfielder bertubuh kecil seperti beliau – lebih melindungi bola, distribusi melalui diagonal ball, pembacaan permainan yang baik; professional foul dan bentesan-terjahan keras.

Bermain week in week out di bawah bimbingan K.Devan bersama NSFC yang kini berada di kedudukan ketiga Liga Super menjadikan Saiful Ridzuwan sebagai antara calon yang baik juga bagi menggantikan Syamer Kutty Abba.

Sudah tentu daripada segi kecergasan dan minit permainan tiada masalah buat Saiful Ridzuwan. Tinggal bagaimana strategi Pan Gon menggunakan baka pemain Defensive Midfielder dengan titik kestabilan rendah seperti beliau ini nanti (jika benar Pan Gon memilih beliau).

  1. Akram Mahinan

Akram adalah seorang lagi baka Defensive Midfielder dengan titik kestabilan rendah, sama seperti Saiful Ridzuwan Selamat. Bonus juga kerana Akram memiliki pengalaman beraksi bersama Harimau Malaya di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.

Justeru, bermain di peringkat tertinggi bola sepak dengan intensiti tinggi bukanlah perkara baru bagi Akram. Beliau juga sedang menikmati musim yang agak baik bersama KL City FC – bermain di Liga Super dan juga di AFC Cup secara konsisten.

Memiliki gaya permainan tipikal Defensive Midfielder bertubuh kecil dan rendah sama seperti Saiful Ridzuwan Selamat, Akram juga tiada masalah beraksi dalam sistem Double Pivot mahupun Single Pivot kerana beliau pernah bermain dalam kedua sistem itu sebelum ini.

Penutup

Pilihan pengganti Syamer Kutty Abba kini terletak di tangan Kim Pan Gon. Saya percaya, Pan Gon terpaksa melakukan sedikit tactical adjustment dengan pilihan yang beliau ada ini kerana setiap pemain memiliki gaya permainan yang berbeza.

Mungkin kita akan dapat melihat dimensi baru Harimau Malaya dengan pemain Defensive Midfielder baka berbeza daripada Syamer nanti.

Kepada siapapun yang terpilih menggantikan Syamer nanti, diharap individu tersebut dapat memberikan persembahan terbaik dan bermain demi lencana di dada untuk Harimau Malaya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram