Jurulatih Malayan Tigress Bawah 20 Tahun (B-20), Cameron Ng mengingatkan para pemain bahawa pengalaman lalu bukan jaminan untuk mendapat tempat dalam skuad itu.
Skuad wanita Malaysia B-20 bakal bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 dari 2 hingga 10 Ogos ini.
Malaysia akan berentap dengan pasukan gergasi Asia, Jepun, Iran dan Guam dalam Kumpulan F.
Cameron memaklumkan barisan pemain yang dipanggil kali ini bukan saja dipilih atas faktor pengalaman. Malah, beliau juga akan menilai prestasi semasa setiap pemain.
“Setiap musim, pemain sentiasa bergerak ke kumpulan umur yang baharu,” katanya.
“Namun begitu, dengan gabungan pemain dari skuad Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Phnom Penh 2023 dan beberapa bakat yang telah saya kenalpasti daripada skuad Malayan Tigress B-17, tiada apa yang mustahil.
“Saya juga ingin menekankan bahawa pengalaman lepas sahaja tidak menjamin tempat dalam pasukan. Pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa dan setiap pemain perlu membuktikan bahawa mereka layak berada di dalam skuad kebangsaan.”
Pusingan kelayakan ini menyaksikan Malaysia menggalas peranan sebagai tuan rumah. Justeru, Cameron berharap dapat menagih sokongan penyokong untuk memberi semangat kepada Malayan Tigress B-20.
“Saya pasti ia dapat menyuntik semangat barisan pemain untuk memberikan aksi terbaik apabila beraksi di hadapan penyokong-penyokong Malaysia.
“Saya juga berharap peminat-peminat bola sepak tanah air dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada skuad Malayan Tigress B-19,” ujarnya.
Malaysia berharap dapat layak ke kejohanan itu selepas melakukannya sebanyak dua kali pada 2004 dan 2006.