Penyerang muda Harimau Malaya, Fergus Tierney melihat Cape Verde sebagai ujian terbaik untuk mengukur kemajuan pasukan di bawah bimbingan Peter Cklamovski.
Cape Verde yang kini menduduki ranking ke-72 dunia bakal menguji skuad negara untuk dua aksi pemanas badan pada 29 Mei dan 3 Jun ini.
Aksi pertama merupakan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1. Satu lagi aksi merupakan aksi tertutup yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Tierney mengakui The Blue Sharks bakal menjanjikan ujian sukar buat Harimau Malaya. Ini kerana pasukan itu memiliki ramai pemain yang beraksi di Eropah.
Pada masa sama, bekas penyerang Chonburi FC itu melihat ini ujian terbaik untuk melihat kemampuan skuad negara menentang lawan berkualiti tinggi.
“Mereka satu pasukan yang sangat kuat. Kalau anda lihat ranking dan semua pemain mereka bermain di Eropah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Jadi, saya rasa ini satu peluang yang bagus untuk kita tengok dekat mana tahap kita. Bagi saya sendiri, saya nak tunjuk apa yang saya boleh buat.
“Harap dapat peluanglah (dalam kesebelasan utama). Itu yang saya nak tunjuk masa latihan nanti.”
Antara pemain yang dipanggil Cape Verde untuk dua aksi berkenaan ialah pemain sayap Selangor FC, Alvin Fortes, orang besi Villarreal, Logan Costa dan penyerang Leganes, Duk.
Harimau Malaya juga dijangka diperkuat beberapa pemain yang berpangkalan di luar negara seperti Dion Cools, Gabriel Palmero dan Hector Hevel.