Ramai penyokong Indonesia kagum dengan cara Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menenangkan Ernando Ari semalam.
Nama penjaga gol Persebaya Surabaya itu menjadi bualan kerana melakukan beberapa kesilapan dalam perlawanan Indonesia menentang Iraq.
Ernando memberi sepakan penalti kedua kepada Singa Mesopotamia selepas menjatuhkan bintang muda Air Force Club, Ali Jasim. Beliau bernasib baik apabila penalti yang diambil Aymen Hussein pada minit ke-74 melambung tinggi.
Keinginan beliau bermain bola dalam kawasan sendiri kemudiannya membawa padah apabila ditekan dua pemain Iraq. Ini membuka ruang buat Ali merembat bola masuk ke gawang kosong Tim Garuda pada minit ke-88.
Selepas perlawanan tamat, Ernando tidak dapat menahan emosi kerana kesilapannya menyumbang kepada kekalahan Indonesia.
Keadaan ini mendorong pemain-pemain Indonesia seperti Thom Haye, Pratama Arhan, Justin Hubner dan Rafael Struick berusaha menenangkan penjaga gol berusia 22 tahun itu.
Apabila Erick mengadakan perjumpaan dengan semua pemain di bilik persalinan, beliau tidak menyalahkan Ernando atas apa yang berlaku. Beliau turut meminta penjaga gol muda itu agar melupakan insiden berkenaan dan kembali bangkit dalam perlawanan seterusnya.
“Do (Ernando), kenapa? Tidak ada (yang) menyalahkan. Main bola bukan satu atau dua orang, kita main sebelas (orang). Tidak ada yang menyalahkan,” katanya kepada Ernando dalam satu hantaran video di Instagram.
Sebaik video tersebut dimuat naik, ramai penyokong Indonesia kagum dengan sikap positif yang dipamerkan Presiden PSSI itu.
Salah seorang daripadanya ialah Faris Firansyah. Faris menyifatkan kata-kata semangat Erick mampu mendorong Tim Garuda bangkit dalam perlawanan seterusnya.
“Terima kasih Pak Erick telah membantu membangunkan Timnas (Indonesia) agar tidak menyerah. Khususnya juga terima kasih telah memberi semangat (kepada) Ernando, kerana kita hanya bisa memberi semangat di laman media sosial mereka,” katanya di ruang komen.
Hal ini turut dipersetujui seorang lagi penyokong, Dani Nurcahyadi. “Ini baru pemimpin. Teruskan Pak Erick,” ujarnya.
Indonesia berpeluang mengiringi Iraq ke pusingan ketiga kelayakan dengan syarat mereka perlu menewaskan Filipina pada 11 Jun ini.