Perlawanan terakhir Liga Super Sabah FC-Kedah Darul Aman FC (KDA FC) malam ini bukan saja perlawanan perpisahan buat legenda negara, Amri Yahyah.
Malah, perlawanan tersebut merupakan perlawanan perpisahan buat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah, Ahmad Marzuki Nasir.
Ini selepas Marzuki mengumumkan hari ini merupakan hari terakhirnya sebagai CEO pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya.
Surat perletakan jawatan beliau sudah diserahkan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah. Perletakan jawatan Marzuki bakal berkuatkuasa esok.
Walaupun ini hari terakhirnya bersama skuad Badak, beliau mahu penyokong Sabah hadir beramai-ramai ke Stadium Likas malam ini bagi memberi sokongan.
Ini kerana sokongan mereka mampu membantu anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mendapatkan tempat ketiga daripada Kedah malam ini.
“Di sini saya ingin mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di atas kepercayaan yang diberikan dan keprihatinan beliau terhadap sukan bola sepak di Negeri Sabah.
“Terima kasih SAFA, MFL, FAM, penaja-penaja, rakan-rakan media, semua peminat Sabah FC dan yang paling utama buat barisan kejurulatihan, pemain-pemain dan staf Sabah FC yang telah bersama-sama saya selama hampir tiga tahun untuk mengangkat bola sepak Sabah sehingga ke peringkat Asia
“Ayuh kita turun beramai-ramai malam ini di Stadium Likas bagi perlawanan terakhir liga untuk memberikan sokongan untuk pasukan kesayangan kita dan juga mengucapkan selamat bersara dari penampilan bola sepak profesional buat lagenda bolasepak Malaysia, Amri Yahyah,” katanya.
Skuad Badak berharap dapat menutup kempen Liga Super dengan kemenangan bila menentang Sang Kenari malam ini.