Cerezo Osaka Puji Aksi Berkualiti Tinggi Dion Cools
MakanBola
Cerezo Osaka

Penampilan pertama Dion Cools bersama Cerezo Osaka dalam aksi terbaru J1 League baru-baru ini mendapat pujian kelab berkenaan.

Cools masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-73 ketika aksi menentang musuh setempat Cerezo, Gamba Osaka.

Pemain pertahanan Harimau Malaya itu masuk menggantikan bek kanan, Hayato Okuda. Cools hampir membantu Cerezo meraih gol penyamaan pada minit akhir permainan.

Malangnya, gol tersebut kemudiannya dibatalkan pengadil kerana pemain Cerezo dikesan berada pada kedudukan ofsaid.

Meskipun gagal membantu pasukan itu meraih kemenangan, Cools merekodkan terjahan sebanyak 100% dan berjaya membuat hantaran tepat sebanyak 82%.

“Satu permulaan yang baik — permulaan kepada lebih banyak aksi cemerlang menyarung jersi Sakura selepas ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selepas ini, Cerezo mengalihkan fokus kepada aksi pusingan ketiga Emperor’s Cup menentang Tokushima Vortis pada 16 Julai ini.