Berikutan kes kemenangan Syed Saddiq yang ditarik balik dalam satu acara trialthlon baru-baru ini, terdapat penjelasan terperinci berkenaan keputusan yang dilakukan.
Sebelum ini, Syed Saddiq dalam satu hantaran di media sosialnya memaparkan kejayaannya menamatkan larian di tempat ketiga dalam acara 113 Trialthlon Desaru 2024.
Walau bagaimanapun, timbul isu dalam kalangan peserta yang mempertikai keputusan yang dicapai oleh Syed Saddiq dengan mendakwa Ahli Parlimen Muar itu berada di belakang mereka ketika acara berlangsung.
Isu ini menjadi perbincangan hangat khususnya warga maya setelah melihat Syed Saddiq menafikan segala tohmahan yang dilemparkan dan disertakan data daripada iWatch milik beliau sahaja.
Timbul persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai tindakan beliau yang hanya memaparkan data dari iWatch sahaja dan bukannya dari Strava atau Garmin sedangkan data dari iWatch tidaklah begitu tepat.
Malah, ada juga komen yang meminta agar Syed Saddiq meletakkan juga data daripada Strava milik beliau bagi membuktikan masa lariannya itu selari atau tidak dengan keputusan daripada penganjur.
”Tunjukkan kami data dari Strava kamu, Syed Saddiq,” komen salah seorang pengguna media sosial, @hy5t3r14 di laman X.
Perkara ini telah mendapat kecaman daripada komuniti Trialthlon di media sosial yang kecewa dengan tindakan Syed Saddiq sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan yang dianggap tidak telus demi mendapatkan kedudukan podium.
Oleh itu, Syed Saddiq dalam video permohonan maafnya menyatakan bahawa ada kekeliruan mengenai bacaan data pada penjelasan pertamanya itu dan meminta maaf buat semua serta berjanji kesilapan sama tidak akan berulang.
Berdasarkan kemas kini di laman web, keputusan Triatlon Desaru 2024 telah memaparkan keputusan bagi larian yang dilakukan oleh Syed Saddiq telah dikategorikan sebagai Did Not Finish (DNF).
Tempat ketiga yang diraih oleh Syed Saddiq pada mulanya telah digantikan dengan peserta bernama Adam Syahmi dengan catatan masa yang diambil iaitu enam jam dan 44 minit.