Cerita Sebenar Perpindahan Aubameyang Ke Barcelona
La Liga
Shaun Botterill/Getty Images
Advertisements

Pada hari terakhir perpindahan semalam, Pierre-Emerick Aubameyang membuat kejutan dengan menyertai Barcelona dari Arsenal secara percuma. Bagi Xavi, kehadiran penyerang Gabon itu dilihat mampu mempertajam barisan serangan Barca. Tetapi untuk merealisasikannya bukan sesuatu yang mudah.

Sejak musim perpindahan Januari 2022 bermula, sasaran sebenar Blaugrana ialah bekas penyerang Real Madrid Alvaro Morata. Bagaimanapun, untuk mendapatkannya, majikannya Atletico Madrid perlu membatalkan kontrak pinjaman Morata dengan Juventus sebelum perpindahan pinjaman baru dibuat. Sedar ia terlalu sukar, Blaugrana memerlukan pelan B.

Dan ini membawa kepada situasi Aubameyang. Dibekukan oleh Mikel Arteta sejak Disember lepas, penyerang Gabon itu mempunyai pakej gaji mingguan sebanyak £350,000 (RM1.98 juta). Siapa tidak mahu bekas penyerang Borussia Dortmund yang pernah menjadi igauan ngeri beberapa tahun sebelumnya? Malangnya, Barca berdepan satu masalah: duit.

Advertisements

Kelab telah menjimatkan wang menerusi perpindahan pinjaman Philippe Coutinho ke Aston Villa dan merunding semula kontrak beberapa pemain. Tetapi itu masih tidak mencukupi sekiranya mahu membawa Aubameyang ke Nou Camp. Harapan mereka ialah dengan menjual penyerang Perancis, Ousmane Dembele yang mempunyai baki kontrak sehingga akhir musim.

Seperti Aubameyang, Dembele juga merupakan bekas penyerang Dortmund. Tetapi selepas mengharungi beberapa tahun mengecewakan akibat kecederaan, penyerang Perancis itu pasti mahu mencari angin baru. Bukan tidak ada rundingan kontrak baru antara kelab dengan Dembele tetapi ia berakhir dengan kegagalan.

Lantas, Xavi dan pihak pengurusan memberi kata dua: meterai kontrak baru atau dijual. Dembele memilih pilihan kedua dan itu cuba direalisasikan pada hari terakhir perpindahan semalam. Bagaimanapun, semua usaha untuk menjualnya tidak berhasil dan penyerang tersebut kekal bersama kelab.

Advertisements

Tetapi ini menimbulkan masalah baru kepada kelab. Ini kerana sekiranya persetujuan gagal dicapai, maka perpindahan pinjaman yang direncana Barca dan Arsenal gagal. Selain itu, Gunners juga tidak mahu memberi terlalu banyak subsidi gaji sepanjang tempoh Aubameyang di Nou Camp.

Satu-satunya pilihan ialah membenarkan penyerang Gabon itu berhijrah ke Barca secara percuma. Semua ini tidak akan berlaku tanpa kelibat dua orang peguam iaitu Inaki Ibanez dan Inigo Landa yang merencana penyelesaian menang-menang kepada semua pihak.

Ibanez bukan orang asing bagi hierarki kelab kerana bertanggungjawab merunding pampasan untuk bekas pengurus Barca, Ernesto Valverde pada Januari 2020. Tetapi paling penting, beliau dipercayai oleh Arteta dan pengarah sukan Barca, Mateu Alemany.

Advertisements

Selepas berunding, Arsenal bersetuju melepaskan Aubameyang dan membayar pampasan berjumlah £7 juta (RM39.7 juta) kepadanya. Ironinya, itulah jumlah pampasan sama yang dibayar kepada Mesut Ozil sebelum berpindah ke Fenerbahce secara percuma beberapa musim sebelumnya.

Satu-satunya halangan yang tinggal ialah soal gaji. Buat masa ini, Aubameyang hanya dibayar gaji yang sedikit bagi mematuhi peraturan kewangan La Liga. Tetapi Blaugrana berharap itu dapat diubah menerusi lebih banyak penjualan dan penjimatan sebagai solusi kepada isu kewangan yang membelenggu kelab ketika ini.

Kurang seminit sebelum tempoh perpindahan Januari berakhir, Aubameyang sah bergelar pemain Blaugrana. Ini menjadikan beliau pemain keempat dibawa masuk kelab selepas Ferran Torres, Dani Alves dan Adama Traore.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram