Kapten BG Pathum United, Chanathip Songkrasin menyifatkan aksi persahabatan menentang Borussia Dortmund sebagai peluang menguji keupayaan pasukan itu.
The Rabbits dan BVB bakal berentap di Stadium BG pada 21 Julai ini sebagai sebahagian daripada persiapan pra-musim kedua-dua pasukan untuk kempen 2024/25.
Selain Thailand, BVB juga bakal mengadakan satu lagi aksi pra-musim di Jepun pada 24 Julai. Perlawanan itu bakal menemukan anak buah Nuri Sahin dengan kelab J1 League, Cerezo Osaka.
Jelajah pra-musim Asia 2024 Dortmund diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-114 penubuhan kelab gergasi Bundesliga itu.
Meskipun sedar taraf antara BG Pathum dan BVB jauh berbeza, Chanathip melihat ini peluang buat pasukan itu menunjukkan prestasi terbaik di hadapan penyokong sendiri.
Ini kerana inilah peluang terbaik buat barisan pemain The Rabbits menguji keupayaan mereka menentang pemain-pemain bertaraf dunia.
“Dortmund adalah pasukan yang hebat. (Mereka memiliki) kedua-dua jurulatih dan pemain bertaraf dunia. Jadi perlawanan esok (aksi Borussia Dortmund) pengukur yang baik untuk tahap kami.
“Secara peribadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk BG Pathum untuk menunjukkan berapa banyak potensi yang kita miliki.
“Terima kasih kepada semua orang merealisasikan perlawanan penting itu berlaku. Esok, kami akan tunjukkan bahawa permainan ini pasti tidak mudah buat mereka,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada 20 Julai lalu.
Dortmund dijangka menurunkan ramai pemain terbaik seperti kapten, Emre Can, Sebastian Haller, Felix Nmecha, Marcel Sabitzer dan Julian Brandt.
BG Pathum juga menggunakan aksi ini untuk memperkenalkan pemain baru mereka seperti Christian Gomis, Lars Veldwijk dan Raniel. Perlawanan ini bakal disiarkan di saluran YouTube rasmi BG Pathum pada jam 9.00 malam.