Selepas disisihkan dalam beberapa perlawanan, khidmat Chanathip Songkrasin kembali ditagih kelab J-League, Kawasaki Frontale. Ini selepas Frontale menyenaraikannya dalam kesebelasan utama untuk perlawanan J-League Cup menentang Shimizu S-Pulse hari ini.
Sebelum ini, ketiadaan Chanathip dalam beberapa perlawanan awal J-League menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak Thailand. Bagaimanapun, Frontale menegaskan Chanathip masih sebahagian daripada perancangan mereka musim ini.
Malah, pemain tengah Thailand itu dilihat mempunyai kesungguhan untuk merebut slot dalam kesebelasan utama pasukan yang dibimbing Toru Oniki itu.
Selain Chanathip, Supachok Sarachat juga bakal membuat kemunculan pertama bersama Consadole Sapporo dalam perlawanan J-League Cup menentang Sagan Tosu. Ini selepas dia disenaraikan untuk perlawanan hari ini.
Selain duo Thailand itu, Nguyen Cong Phuong juga dijangka bakal membuat penampilan bersama Yokohama. Dengan Cong Phuong diletakkan di bangku simpanan, Yokohama pasti mahukan dia mencipta impak apabila dimasukkan sebagai pemain gantian.