Seorang chef Indonesia mencetuskan kontroversi apabila menganggap nasi kandarnya lebih sedap berbanding nasi kandar Malaysia.
Kenyataan panas itu dibuat juara MasterChef Indonesia 2019, Stefani Horison dalam satu video YouTube bersama penilai makanan popular Indonesia, Boengkoes.
Dalam video terbarunya, penilai makanan itu ingin mencuba hidangan nasi kandar yang diperkenalkan di restoran baru milik Stefani.
Bila ditanya mengapa beliau mahu memperkenalkan menu berkenaan, chef berusia 27 tahun itu memaklumkan beliau suka menikmati makanan berkenaan setiap kali berada di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Stefani merasakan nasi kandar Malaysia bukan saja kurang enak. Malah, disebabkan penggunaan serbuk rempah dalam hidangan tersebut, beliau merasakan hidangan itu berpasir bila dimakan.
“Tiap hari asyik makan nasi kandar sahaja tapi rasanya kurang enak di Malaysia. Jadi, saya rasa boleh buat juga di sini.
“Kalau di Malaysia itu kan dia pakai serbuk rempah semuanya, kalau di sini kita pakai rempah yang segar dan dihasilkan sendiri. Kalau di sana, kan pakai rempah serbuk jadi kalau dituang (kuah), rasanya seperti berpasir,” katanya.
Boengkoes kemudian merasai pelbagai hidangan yang disediakan di restoran Stefani termasuk nasi kandar. Beliau mendakwa rasa nasi kandar itu lebih enak daripada nasi kandar Malaysia.
Sebaik video tersebut dimuat naik, ia mencetuskan rasa tidak puas hati ramai warga maya termasuk dari Indonesia. Ini kerana kenyataan Stefani itu dilihat merendah-rendahkan hidangan Malaysia itu.
Malah, ada juga yang berpandangan hidangan nasi kandar yang disediakannya langsung tidak sama dengan nasi kandar yang ada di Malaysia.
Di sebalik pelbagai kritikan yang timbul, ada juga pengguna media sosial melihat kenyataan Stefani sebagai kepelbagaian serantau dalam menyediakan hidangan nasi kandar.
Selain bergelar juara MasterChef Indonesia 2019, beliau juga pernah muncul juara Surabaya Culinary Challenge pada 2017.