Kelab gergasi EPL, Chelsea berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat termasuk potongan mata oleh entiti berkenaan.
Ini selepas satu pendedahan yang dibuat The Guardian mengenai siri bayaran rahsia yang dibuat terhadap individu dan entiti di seluruh dunia semasa era pemilik sebelumnya, Roman Abramovich.
Kebanyakan bayaran ini dibuat oleh syarikat-syarikat luar pesisir yang mempunyai kaitan dengan jutawan Rusia itu.
Antara individu yang didakwa menerima bayaran rahsia ini ialah ejen bola sepak Itali, Federico Pastorello dan ejen legenda Belgium, Eden Hazard, John Bico-Penaque.
Pastorello dikatakan memiliki hubungan baik dengan bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte dan selalu menghebahkan rundingan pengurus itu dengan kelab di media.
Ejen Itali itu bagaimanapun menafikan hal ini bila ditanya oleh media dan menyatakan bahawa Conte bukan klien beliau.
Penulis buku The Price of Football, Kieran Maguire menyifatkan tindakan ini melanggar Peraturan Fair Play EPL dan UEFA atas sebab cuba mengelak skala perbelanjaan sebenar kelab diketahui.
“Jika ada bukti kelab (Chelsea) menggunakan transaksi pihak ketiga bagi memintas peraturan keuntungan dan kelestarian kewangan, maka tindakan sama ada dari segi kewangan (denda) atau potongan mata.
“Tindakan kedua lebih berkemungkinan dikenakan memandangkan suruhanjaya yang menyiasat situasi kelab akan menjadikan ini sebagai amaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi perkara sama,” katanya.
Sehingga artikel ini ditulis, melainkan Pastorello, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh semua pihak yang dikaitkan dengan siri pembayaran rahsia ini.
Sementara Chelsea dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus bekerjasama dengan semua badan terlibat sebagai tanda mereka bersikap telus terhadap aspek kewangan mereka.