Chelsea secara rasmi mengumumkan pemecatan Graham Potter sebagai pengurus pasukan selepas mengharungi musim sukar.
Kekalahan kepada Aston Villa di halaman sendiri menjadi kemuncak kesabaran penyokong Chelsea dan juga pihak atasan kelab yang akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan khidmat bekas pengendali Brighton & Hove Albion tersebut.
“Chelsea FC telah mengumumkan bahawa Graham Potter telah meninggalkan kelab itu. Graham telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Kelab untuk memudahkan peralihan yang lancar. Semasa bersama kelab, Graham telah membawa kami ke suku akhir Liga Juara-Juara, di mana kami akan menentang Real Madrid. Chelsea ingin mengucapkan terima kasih kepada Graham di atas segala usaha dan sumbangannya dan mendoakan kesejahteraannya untuk masa depan.
“Bruno Saltor akan mengendalikan pasukan sebagai Ketua Jurulatih Interim.”
Pemilik bersama Todd Boehly dan Behdad Eghbali berkata: “Bagi pihak semua orang di kelab, kami ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Graham atas sumbangannya kepada Chelsea. Kami mempunyai tahap penghormatan tertinggi untuk Graham sebagai jurulatih dan sebagai seorang individu. Dia sentiasa menjalankan dirinya dengan profesional dan integriti dan kami semua kecewa dengan keputusan ini.
“Bersama-sama peminat kami yang luar biasa, kami semua akan berada di belakang Bruno dan pasukan ketika kami memberi tumpuan kepada baki musim ini. Kami mempunyai baki 10 perlawanan Liga Perdana dan suku akhir Liga Juara-Juara di hadapan. Kami akan meletakkan setiap usaha dan komitmen dalam setiap satu daripada perlawanan itu supaya kami boleh menamatkan musim ini dengan cemerlang.”
Dibawah kepimpinan Potter, Chelsea hanya berjaya mencatatkan 10 kemenangan selepas 28 perlawanan dan kini berada di tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris.
Walaupun beraksi baik dengan penguasaan bola dan serangan bertali arus, penyokong Chelsea percaya, Potter tidak memiliki magis untuk membantu Chelsea menjadi pasukan yang digeruni seperti dahulu kala.