Ganjaran besar menanti buat atlet Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 berupa sebuah kenderaan oleh jenama automotif terkenal, Chery.
Perkara ini dimaklumkan oleh Presiden Chery Malaysia, Leo Chen dalam satu majlis memeterai perjanjian di antara Chery Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan di ibu negara pada Rabu.
Beliau berkata, pihak Chery Malaysia bakal sentiasa menyokong usaha dan perjalanan para atlet negara yang berjuang hebat demi membawa pulang kejayaan buat tanah air tercinta.
“Kepada kontinjen Malaysia, anda tahu bahawa Chery Malaysia akan memberi sorakan kepada anda pada setiap jejak perjalanan anda,” ucapnya ketika di dalam majlis itu.
“Kami tahu mereka telah melakukan kerja keras dan latihan berjam-jam untuk perlawanan itu dan Malaysia berupaya mencapai pingat emas yang diidamkan oleh negara,”tambah beliau lagi.
Leo berkata, habuan itu berupa SUV Tiggo 8 Pro bagi atlet yang meraih pingat emas, Omoda E5 untuk pemenang pingat perak sementara Tiggo 7 Pro untuk atlet yang membawa pulang gangsa buat negara.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub, pihaknya amat bergembira dengan habuan yang bakal diberikan oleh Chery Malaysia dan yakin moral atlet negara pasti akan melonjak dengan pengumuman ini.
“Kami sememangnya sangat gembira dengan Chery Malaysia untuk memberi ganjaran kepada atlet Malaysia yang akan beraksi dalam Sukan Olimpik di Paris akan datang,” ujar Abdul Rashid Yaakub kepada media.
“Kami berharap ini akan merangsang para atlet untuk memberi yang terbaik dan membanggakan negara,” tambah beliau lagi.
Ketika ini, seramai 21 atlet Malaysia sudah mengesahkan tempat di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan atlet golf, Gavin Kyle Green menjadi atlet terbaharu yang berjaya layak ke temasya sukan berprestij itu.