Chia Ruo Han ‘Laku Keras’ Selepas Tinggalkan JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Chia Ruo Han mula menjadi buruan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) selepas meninggalkan pasukan itu.

Perkara ini dikongsikan pemain berusia 23 tahun itu apabila ditanya tentang pasukan mana yang akan disertainya pada musim hadapan.

Ruo Han turut menafikan khabar angin bahawa beliau telah menerima tawaran daripada pasukan utara tanah air, Penang FC.

“Belum ada pengesahan lagi (tentang pasukan baru). Saya ada menerima tiga, empat tawaran tapi saya belum sahkan apa-apa buat masa ini.

“Jadi, jika saya menyertai kelab baharu dan itu sudah rasmi, saya akan maklumkan di Instagram,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Ruo Han turut mengakui beliau perlu bijak memilih pasukan. Ini kerana tidak banyak pasukan Liga M yang memiliki kestabilan dari segi kewangan.

“Bila saya bersama JDT, saya tak pernah risau tentang keadaan kewangan saya. Saya tahu pada setiap hujung bulan, saya akan terima gaji saya,” tambahnya.

“Sekarang bila saya menyertai pasukan lain, saya akan pastikan saya menyertai pasukan yang memiliki kedudukan kewangan yang bagus dan boleh menjaga saya.

“Saya sedar tentang hal itu dan saya harap itu boleh dicapai kerana buat masa sekarang, saya nak tunjukkan bakat saya di pentas terbesar, itu keutamaan nombor satu saya. Kalau masalah kewangan timbul, saya akan dapat mengendalikannya.”

Ruo Han menyertai Akademi JDT pada 2018 semasa berusia 17 tahun. Beliau kekal bersama Harimau Selatan selama enam musim sebelum memilih meninggalkan pasukan itu pada akhir musim 2024/25.