Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke suku akhir China Masters 2023 hari ini.
Ini selepas anak jati Alor Setar, Kedah itu berjaya mengatasi cabaran jaguh perseorangan lelaki dari China, Lu Guangzu di pusingan kedua kejohanan.
Rekod pertemuan menyaksikan Zii Jia sebagai pilihan utama kerana berjaya mengatasi Guangzu tiga kali daripada empat pertemuan.
Set pertama menyaksikan juara Terbuka Artik 2023 itu mampu mengawal permainan sebelum menang dengan keputusan 21-10.
Guangzu kemudiannya cuba memberi tentangan di set kedua. Bagaimanapun, Zii Jia tetap tenang sebelum meraih kemenangan straight set 21-12.
Ini merupakan penampilan suku akhir Zii Jia yang ketujuh untuk tahun 2023. Begitupun, beliau bakal berdepan cabaran sukar di pentas suku akhir.
Zii Jia bakal berdepan sama ada juara dunia perseorangan lelaki dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn atau pemain nombor ke-13 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto.