Pasukan kebangsaan China memilih untuk menggunakan pendekatan Malaysia bagi memantapkan skuad.
Skuad kendalian Branko Ivankovic mengharungi aksi hambar pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sungguhpun berjaya menewaskan Indonesia.
China tunduk dengan jaringan besar 7-0 kepada Jepun sebelum tewas dua lagi perlawanan berdepan Arab Saudi (2-1) dan juga Australia (3-1).
Usaha memantapkan pasukan giat dilakukan oleh China apabila bakal mengikut jejak langkah Malaysia untuk membawa masuk lebih ramai pemain warisan.
Laporan daripada beberapa media sukan Norway mengatakan bahawa Persatuan Bola Sepak China (CFA) sedang berhubung dengan Hou Yongyong dan telah mencapai kemajuan yang baik.
“Jika semuanya berjalan lancar, Hou Yongyong dijangka akan dipilih untuk pasukan kebangsaan China dan membuat penampilan sulung.
“Aksi sulungnya berkemungkinan bagi perlawanan antara China dan Bahrain pada November sekaligus melengkapkan penampilan pertamanya dalam pasukan kebangsaan,” ujar laporan 163.com.
John Hou Sæter atau lebih dikenali sebagai Hou Yongyong merupakan pemain kelahiran Norway berusia 26 tahun.
Beliau pernah beraksi di CSL pada tahun 2019 bersama Beijing Guoan sebelum membawa haluan baharu ke Norway bersama Ranheim dalam saingan Divisyen 2.
Malaysia juga memiliki pemain warisan Norway iaitu Kim Johan yang kini beraksi buat skuad B-16 negara.
Harimau Malaya pernah mengikat China pada satu aksi persahabatan Tier 1 FIFA tahun 2023 namun tidak berupaya layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.