Chonburi Hantar Pingat Kejuaraan Kepada Fergus Tierney
MakanBola
Chonburi FC

Kelab Thai League 2, Chonburi FC telah menghantar pingat kejuaraan liga musim 2024/25 kepada penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney.

SNE Sports melaporkan kelab itu telah menghantar pingat tersebut kepada penyerang berusia 22 tahun itu.

Ini selepas Tierney membuat 12 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol buat The Sharks dalam pusingan pertama liga musim tersebut.

Chonburi menamatkan musim selaku juara dengan 63 mata. Bekas penyerang Terengganu FC, Adisak Kraisorn dan Derley masing-masing menyumbat enam dan 13 gol buat The Sharks.

Meskipun tempoh pinjaman penyerang berdarah Scotland itu ditamatkan pada akhir Disember 2024, Chonburi tetap mengenang jasa beliau.

Susulan itu, Tierney kemudiannya menyertai kelab Thai League 1, Nakhon Pathom United pada 5 Januari lalu. Beliau merekodkan tiga gol dalam 13 penampilan bersama The King Tigers.

Walaupun tidak dapat menghalang Nakhon Pathom tersingkir ke Thai League 2, prestasi baik Tierney dilihat memuaskan pengurusan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan nama beliau dan Gabriel Nistelrooy dijangka mewarnai skuad utama JDT untuk musim 2025/26.