Chrigor Moraes Pengganti Ronnie Fernandez
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC mengumumkan penyerang Brazil, Chrigor Moraes sebagai peledak import mereka yang baharu.

Sebelum ini, penyerang Chile, Ronnie Fernandez diberi tugas mengetuai jentera serangan Selangor sepanjang musim 2024/25.

Meskipun meledakkan 16 gol dalam semua kejohanan, prestasi bekas penyerang Al-Fayha itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

Lantaran itu, Fernandez dan Selangor kemudiannya memutuskan untuk menamatkan kontrak secara persetujuan bersama. Beliau kini bersama kelab Chile, CD Palestino.

Susulan itu, Merah Kuning mengumumkan Moraes sebagai pengganti Fernandez bagi menghadapi musim 2025/26.

“Selangor FC gembira untuk mengalu-alukan pemain baharu kedua kita untuk musim 2025/26, Chrigor Moraes!

“Berasal dari Cachoeira do Sul, Brazil, Chrigor mencetuskan keterujaan di rantau Asia Tenggara dengan ketajamannya sebagai penjaring gol,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini sekaligus mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi beberapa minggu lalu.

Chrigor meledakkan 18 gol dalam 37 penampilan untuk musim 2024/25. Selepas meledakkan lapan gol untuk Buriram United, penyerang berusia 24 tahun itu meledakkan 10 gol lagi untuk PT Prachuap.

Chrigor menjadi pemain import kedua yang menyertai Selangor selepas bekas kapten Muangthong United, Picha Autra.