Bekas Ahli Exco FAM, Christopher Raj mencadangkan kelab-kelab Liga Super yang berdepan masalah kewangan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.
Gagasan ini dinyatakan beliau semasa menjadi tetamu program Nindia baru-baru ini. Christopher melihat dengan idea tersebut, pengurusan kelab boleh memberi fokus kepada saingan pasukan dalam liga itu.
Selain itu, ini juga akan membantu pengurusan kelab yang bermasalah untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan mereka.
“Kalau saya tiada kemampuan bermain di Liga Super, saya akan ambil peluang (turun divisyen) dan bermain di Liga AFL (Liga A1 Semi-Pro) sehingga keadaan kewangan saya kembali stabil, hutang dibayar dan sebagainya.
“Perkara ini juga berlaku kepada kelab-kelab gergasi di Eropah. Manchester United pernah bermain di divisyen dua (Liga Kejohanan),” katanya.
Christopher melihat langkah tersebut jauh lebih baik daripada memilih membubarkan pasukan.
“Anda boleh terangkan kepada penyokong tentang keadaan yang dihadapi kelab sekarang, daripada tutup kedai, kita bermain di Liga AFL (Liga A1 Semi-Pro),” ujarnya.
“Kita mungkin boleh main dengan skuad Bawah 23 Tahun (B-23), main dengan seorang atau dua pemain import. Kita betulkan semua hutang.
“Lepas kita sudah stabil dalam satu atau dua musim, baru kembali ke Liga Super. Bagi kelab yang tidak mahu beraksi di Liga Super, ini bukan penamatnya.”
Christopher turut menyarankan pengurusan skuad remaja diserahkan kepada persatuan bola sepak negeri. Ini kerana ini bukan saja menjamin kelangsungan pembangunan akar umbi.
Malah, pengurusan kelab dapat mengurangkan beban kewangan dan memberi fokus sepenuhnya kepada pasukan mereka.
“FA dan FC kena duduk berbincang kerana lesen itu yang dikeluarkan FA kepada FC. Dan ia pun ada juga memorandum persefahaman (MoU) dan diskusi.
“Mungkin apabila kelab bermain di Liga AFL, katakan pasukan belia boleh diambil alih oleh FA. FA tidak boleh berdiam diri sahaja.
“FA dan FC kena duduk berbincang, FC boleh fokus kepada pasukan dalam Liga AFL (Liga A1 Semi-Pro) atau MFL di Liga Super. Tapi untuk skuad Piala Belia dan Piala Presiden, beri kepada FA dan jalinkan kerjasama,” tambahnya.
Sebelum ini, beberapa kelab Liga Super memberi bayangan bahawa mereka tidak akan beraksi dalam liga itu pada musim hadapan.
Ini susulan kemelut luar padang yang dihadapi pasukan-pasukan itu termasuk isu tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai.