Clayton Dikesan Jalani Sesi Percubaan Bersama Sabah
MakanBola
Perak FC

Bekas penyerang Perak FC, Clayton da Silva dikesan menjalani sesi percubaan bersama Sabah FC.

Selepas Perak dilaporkan menarik diri daripada saingan Liga Super musim 2025/26, ramai pemain pasukan itu termasuk Clayton diintai banyak pasukan.

Sebelum ini, penyerang Brazil itu dilaporkan bukan saja dalam radar enam pasukan Liga Super.

Malah, kelab-kelab dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara juga dilaporkan berminat mendapatkan Clayton.

Kini, akaun penyokong Perak, Perak The Yob melaporkan penyerang berusia 29 tahun itu sedang menjalani sesi percubaan bersama skuad Sang Badak.

“Penyerang Perak FC, Clayton dikhabarkan sedang menjalani sesi percubaan dengan pasukan Sabah FC. Baru-baru ini, beliau membuat satu bantuan gol dalam perlawanan ujian di Sabah,” katanya di X.

Sabah antara pasukan yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Clayton. Pasukan itu memerlukan beberapa tonggak import baharu sebagai pengganti beberapa pemain tonggak yang meninggalkan Sang Badak pada akhir musim 2024/25.

Antara pemain yang telah mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah ialah Saddil Ramdani dan Park Tae-su.

Selain itu, Sang Badak juga memerlukan seorang penyerang baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Joao Pedro. Pedro ketika ini beraksi secara pinjaman untuk Ho Chi Minh City FC (HCMC FC).

Selain itu, Sabah juga bakal berentap dalam saingan Shopee Cup musim hadapan. Sabah dan Kuching City FC layak selepas masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat liga.

Seandainya Sang Badak mahu mengikat khidmat Clayton, mereka perlu bertindak segera. Ini kerana The Cats, Terengganu FC, PDRM FC, KL City FC dan Penang FC turut berminat mendapatkan khidmatnya.