Penyerang Perak FC, Clayton da Silva menggesa pengurusan kelab itu agar segera menyelesaikan isu tunggakan gaji yang timbul.
Sebelum ini, ramai peminat bola sepak terkejut apabila The Bos Gaurus berdepan isu tunggakan gaji selama beberapa bulan.
Isu tersebut turut menyebabkan Perak tidak menghantar pasukan untuk bersaing dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim 2025.
Kini, Clayton menggesa pemilik kelab, XOX Berhad agar menunaikan janji melunaskan semua tunggakan gaji membabitkan pemain, staf kejurulatihan dan pegawai pasukan itu.

“Roy Ho Yew Kee (pengarah eksekutif XOX), inilah wajah lelaki kotor yang menjanjikan kami segala-galanya.
“Bayar dari syarikat anda atau akaun anda tetapi jaga kata-kata anda! Jika tidak, kami akan mencari anda!” luahnya menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Ini bukan kali pertama pemain Perak meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap situasi yang membelenggu pasukan itu.
Sebelum ini, bekas pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal turut meluahkan rasa kurang senang berhubung isu sama.
The Bos Gaurus juga dilaporkan bakal menarik diri dari saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Ini selepas pengurusan pasukan sudah mengadakan pertemuan dengan para pemain berhubung keputusan itu pada 25 April.