Pendatang baru Serie A musim 2024/2025, Como 1907 rupa-rupanya dimiliki oleh jutawan Indonesia sejak kelab tersebut dibeli pada tahun 2019 yang lalu.
Como 1907 mencatatkan musim yang gemilang walaupun menamatkan saingan Serie B di tangga kedua liga apabila kembali ke pentas Serie A setelah 21 tahun.
Como meraih 73 mata hasil 21 kemenangan, 10 seri dan 7 kekalahan sepanjang 38 perlawanan liga dan hanya dibezakan 3 mata dengan juara Serie B, Parma.
Robert Budi Hartono dan Michael Hartono, pemilik Djarum Group telah membeli kelab Como melalui SENT Entertainment, salah satu cabang syarikat perniagaan dibawah Djarum Group ketika Como masih bersaing di Serie D.
Keluarga Hartono yang merupakan keluarga terkaya di Indonesia turut merupakan pemilik salah satu bank terkenal Indonesia, Bank Central Asia.
Menurut Sport Bible, keluarga Hartono memiliki aset keseluruhan sebanyak RM224 bilion bersamaan dengan $48 bilion sekaligus menjadikan mereka sebagai pemilik terkaya dalam bola sepak Itali.
Keluarga Hartono telah membeli kelab Como 1907 dengan harga RM4.3 juta pada 4 April 2019 dan turut melangsaikan hutang terdahulu kelab sebanyak RM765 ribu.
Pemilik baru tersebut melantik bekas pengurus pemasaran Inter Milan, Michael Gandler untuk mentadbir aspek perniagaan kelab dan kemudian membawa masuk Osian Roberts sebagai pengurus sementara pada Disember 2023.
Como bangkit daripada bermain di liga divisyen 4 Itali ke liga divisyen utama dengan meraih promosi sebanyak 3 kali dalam tempoh 6 tahun.
Bekas bintang Premier League Thierry Henry dan Cesc Fabregas turut merupakan pemegang saham kelab tersebut secara minoriti.
Kelab tersebut juga memiliki lokasi stadium yang menakjubkan apabila terletak bersebelahan dengan tasik Como dan mempunyai stadium berkapasiti rendah dengan anggaran seramai 7,800 orang.
Stadium Comunale Giuseppe Sinigaglia dibuka pada tahun 1927 dan merupakan gelanggang rasmi untuk pasukan Como 1907.