Copa America: Messi Buat Hal, Argentina Harapkan Penalti Layak Separuh Akhir
MakanBola
Seleccion Argentina
Sponsors

Argentina menghela nafas lega apabila berjaya mara ke separuh akhir Copa America 2024. Kejayaan itu dicapai La Albiceleste dengan mengatasi Ecuador menerusi penentuan sepakan penalti.

Argentina berharap dapat mara ke separuh akhir sekaligus mencerahkan peluang bergelar juara buat kali ke-16. Sementara Ecuador pula berharap dapat mencipta kejutan ke atas juara dunia itu.

Ad

Legenda Argentina, Lionel Messi terus diberi kepercayaan mengetuai pasukan itu. Sementara bekas peledak West Ham United, Enner Valencia mengetuai cabaran Ecuador.

Separuh masa pertama menyaksikan Argentina berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi gandingan Messi dan penyerang Manchester City, Julian Alvarez.

Ad

Keadaan ini memaksa barisan pertahanan La Tri diketuai Felix Torres bekerja keras menyerap setiap asakan yang digerakkan La Albiceleste.

Ad

Gol yang dicari anak buah Lionel Scaloni muncul pada minit ke-35. Sepakan sudut yang diambil Messi pantas ditanduk bek tengah Manchester United, Lisandro Martinez untuk meletakkan Argentina di hadapan.

Ad

Tersentak, Ecuador cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, La Tri terus meningkatkan tekanan ke atas La Albiceleste. Mereka mendapat talian hayat apabila pengadil, Andres Matonte mengesan kekasaran ke atas pemain Ecuador dalam kotak penalti.

Valencia yang diberi amanah menyempurnakan penalti hampa apabila sepakannya pada minit ke-59 terkena tiang.

Tatkala penyokong Argentina menyangka mereka sudah sah mara ke separuh akhir, Kevin Rodriguez menyamakan kedudukan buat Ecuador pada minit ke-91. Gol tersebut menyaksikan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Messi yang mengambil sepakan penalti pertama buat Argentina tergamam apabila penaltinya terkena palang sebelum melantun keluar. Ecuador turut bernasib malang apabila penalti Angel Mena tidak mengenai sasaran.

Keadaan ini memberi kelebihan kepada La Albiceleste untuk menyempurnakan baki empat lagi penalti. Sementara La Tri hanya berpeluang menyempurnakan dua penalti selepas penalti Alan Minda dinafikan Emiliano Martinez.

Ini membolehkan Argentina layak ke separuh akhir dengan keputusan 4-2. Sofascore memilih Martinez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8.

Selepas ini, La Albiceleste bakal menanti sama ada Kanada atau Venezuela di peringkat separuh akhir. Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey pada pagi 10 Julai.