Advertisements
Craig Bellamy Diisytihar Bankrap
Eropah
MakanBola
Burnley FC

Dahulu, sebut saja nama Craig Bellamy, ramai membayangkan keupayaannya menjaringkan gol bersama Newcastle United, Liverpool dan Wales. Tetapi beberapa hari lepas, namanya menghiasi dada akhbar-akhbar United Kingdom kerana diisytiharkan muflis oleh HMRC (jabatan cukai dan kastam Britain).

Pengisytiharan status tersebut dibuat selepas penolong jurulatih Burnley itu didapati tidak boleh melangsaikan tunggakan cukai berjumlah £1.4 juta (RM7.6 juta) dengan HMRC. Bellamy diisytihar muflis bukan kerana isu ketagihan dadah atau judi tetapi disebabkan beberapa pelaburan gagal yang dibuat bagi pihaknya.

Atas sebab itu, sebaik pengisytiharan itu dibuat, Bellamy berharap kisahnya itu dapat dijadikan pengajaran kepada pemain-pemain lain terutama pemain muda. Ini kerana beliau tidak mahu mereka berdepan kerugian gara-gara mendapat nasihat buruk berkenaan soal kewangan dan pelaburan.

“Kehidupan saya seperti tidak bergerak. Saya bukan pengelak cukai tetapi saya amat naif dan HMRC telah mengejar saya untuk cukai yang tak berbayar selama beberapa lama. Semua benda yang saya miliki telah diambil.

“Jika anda mendapat orang yang salah untuk menasihati anda, harta yang dikumpul akan berkurangan. Ia sampai ke satu tahap di mana status muflis itu sebenarnya satu kelegaan. Ini bermakna saya dapat hidup semula lagi.

“Saya tahu sesetengah orang akan fikir saya habiskan duit saya untuk minum arak, berjudi atau dadah. Saya tak pernah sentuh semua itu. Saya boleh pergi senyap-senyap di mana anda tidak akan dengar daripada saya tetapi saya takkan pergi ke pub.

“Saya tidak pernah menyentuh dadah sejak saya masih muda lagi. Saya tak berjudi. Saya tak pernah berjudi. Semua itu tidak masuk akal kepada saya. Tetapi malangnya, saya tersilap mempercayai orang.

“Saya mahu ini sebagai amaran kepada pemain-pemain lain. Periksa segalanya, pastikan orang yang menasihati anda sememangnya dikawalselia. Jika mereka tidak dikawalselia, ia akan bertukar menjadi buruk.

“Pastikan kewangan anda diaudit oleh individu bebas atau pendapat kedua. Saya dibesarkan dalam generasi pemain bola sepak semua perkara dilakukan untuk anda. Setiap bil. Di mana saja saya pergi, kelab lakukan semuanya untuk saya. Saya fikir itu salah.

“Ia membuatkan anda rasa mudah terdedah (kepada individu jahat). Ia baik bagi pemain mempunyai tanggungjawab sendiri kerana satu hari nanti, kelab tidak akan ada (untuk mereka).

“Anda akan menamatkan karier dan anda masih lagi berusia muda dan bila anda bersara, siapa yang nak bayar semua itu? Anda perlu belajar untuk terus hidup. Anda perlu belajar untuk hidup dalam dunia sebenar,” katanya kepada Daily Mail.

Bagi bekas pemain tengah Liverpool, Danny Murphy, apa yang dikongsikan Bellamy itu sememangnya pahit tetapi realiti yang dialami ramai bekas pemain bola sepak. Atas sebab itu, beliau memuji keberanian bekas penyerang Wales itu kerana sudi berkongsi kisahnya itu.

“Saya mempunyai ramai rakan dan bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang jatuh muflis. Tahniah kepada Craig (Bellamy) kerana menceritakan kisahnya. Anda tidak bersendirian,” tulisnya di kolum Daily Mail beliau.