Awal pagi tadi, penyokong kelab Al-Nassr kecewa selepas pasukan mereka tewas 2-0 kepada juara musim 2021/2022, Al-Hilal. Tetapi apa yang menarik perhatian penyokong ialah tindakan kapten Al-Alami, Cristiano Ronaldo bergusti dengan seorang pemain Al-Hilal.
Bekas penyerang Manchester United itu membuat cabaran ala gusti ke arah Gustavo Cuellar dengan memegang kepala menggunakan lengannya sebelum menjatuhkannya. Ronaldo bagaimanapun bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil Michael Oliver atas apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Oliver kemudiannya turut menganugerahkan dua sepakan penalti kepada Al-Hilal – kedua-duanya disempurnakan seorang lagi bekas penyerang Manchester United, Odion Ighalo. Dua gol tersebut memastikan Al-Nassr ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Saudi Pro League, Al-Ittihad.
Ini bukan kali pertama Ronaldo dikesan bergusti dengan pemain lawan. Pada November tahun lepas, Ronaldo dan pemain pertahanan Aston Villa, Tyrone Mings terpaksa dileraikan pemain United dan Aston Villa selepas kedua-duanya bergusti semasa merebut bola.
Selepas kedua-duanya berjaya ditenangkan, pengadil Anthony Taylor melayangkan kad kuning kepada Ronaldo dan Mings atas perlakuan mereka itu.
United kemudiannya tewas 3-1 dalam perlawanan tersebut. Ironinya, itulah juga penampilan terakhir Ronaldo bersama Red Devils dengan kedua-dua pihak menamatkan kontrak secara bersama susulan temubual kontroversinya bersama Piers Morgan pada bulan yang sama.