Cristiano Ronaldo Cedera Teruk 3 Bulan Menjelang Piala Dunia
MakanBola
Al-Nassr FC

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo menerima khabar buruk tiga bulan sebelum Piala Dunia 2026 bermula.

Ini kerana kelabnya, Al-Nassr memaklumkan Ronaldo mengalami kecederaan hamstring. Kecederaan itu dialami ketika aksi Saudi Pro League (SPL) menentang Al-Fayha.

Pengurusan kelab turut memaklumkan legenda Manchester United itu fokus menjalani proses pemulihan.

Pengumuman ini sekaligus menafikan khabar angin yang mendakwa Ronaldo dan keluarganya telah meninggalkan Arab Saudi dan kembali ke Sepanyol.

Perkara ini turut disahkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano. Beliau memaklumkan Ronaldo tidak pernah meninggalkan Arab Saudi dan fokus menjalani pemulihan bersama Al-Nassr.

Khabar tersebut timbul susulan konflik yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.

Susulan serangan udara ke atas negara Asia Barat itu pada 28 Februari, Iran kemudiannya melancarkan serangan ke atas semua aset milik dua negara itu.

Ronaldo berharap kecederaan yang dialaminya tidak serius. Ini kerana ramai penyokong melihat Piala Dunia 2026 bakal menjadi kejohanan terakhirnya bersama Portugal.