Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo meraikan gol dalam cara yang berbeza dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) baru-baru ini.
Aksi kedua Liga Barat ACLE membabitkan Al-Nassr dan Al-Rayyan menyaksikan pasukan gergasi Arab Saudi itu meraih kemenangan 2-1.
Dua gol Al-Alami disumbangkan oleh Sadio Mane dan Ronaldo. Manakala Al-Rayyan meraih gol saguhati menerusi bekas penyerang Shandong Luneng, Roger Guedes.
Kebiasaannya, Ronaldo meraikan golnya dengan keraian ‘Siuu‘. Walau bagaimanapun, beliau memilih untuk menunjukkan jarinya ke langit.
Keraian itu dipilih bagi menghormati mendiang bapanya, Jose Dinis Aveiro yang meninggal dunia pada tahun 2005. Aveiro meninggal dunia pada usia 52 tahun kerana masalah kegagalan hati.
Perlawanan yang berlangsung pada awal pagi 1 Oktober itu merupakan hari lahir bapanya itu. Atas sebab itu, sambutan gol ini cukup berbeza buat Ronaldo.
“Keraian gol hari ini cukup berbeza… Saya harap bapa saya masih hidup kerana hari ini merupakan hari lahirnya,” katanya selepas perlawanan seperti dilaporkan The Mirror.
Ini gol ketujuh Ronaldo dalam semua kejohanan untuk Al-Nassr musim ini. Dan selepas gol berkenaan, beliau sudah menjaringkan 441 gol dalam 523 perlawanan ketika berusia 30-an.
Rekod ini mengatasi 440 gol dalam 596 perlawanan yang diciptanya ketika berusia 20-an. Ronaldo sudah merekodkan 900 gol di peringkat kelab dan antarabangsa dengan bilangan terkini ialah 904 gol.