Penyerang sensasi Al-Nassr, Cristiano Ronaldo gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan apabila pasukannya tewas 0-1 kepada Al-Ittihad.
Pemain berusia 38 tahun itu sekali lagi diberi kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan dalam aksi penting malam semalam.
Kapten pasukan kebangsaan Portugal itu jelas bergelut tatkala rakan sepasukannya tidak menampilkan persembahan yang diharapkan.
Ronaldo mendapat peluang terbaik pada minit ke-28 apabila percubaan beliau di hadapan gawang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan.
Bersambung babak kedua, anak didik Rudi Garcia seakan hilang punca apabila gagal mempamerkan rentak sebenar untuk meraih tiga mata.
Gol Ittihad akhirnya tiba pada minit ke-80 menerusi ledakan Romarinho sekaligus menutup peluang Al-Nassr meraih mata.
Al-Nassr jatuh ke tangga ke-2 Liga Arab Saudi dipintas oleh Al-Ittihad yang kini memiliki kelebihan satu mata.