Baru beberapa bulan berada di Arab Saudi, Cristiano Ronaldo sudah mempertimbang untuk meninggalkan kelab Al-Nassr. Dan menurut satu laporan di Sepanyol, Ronaldo sedia kembali ke Real Madrid bagi mengisi peranan sebagai duta kelab berkenaan.
Menurut laporan akhbar El Nacional, keputusan tersebut dibuat selepas Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez merindui kehidupan di Madrid, Sepanyol. Semasa bersama Los Blancos, bekas penyerang Manchester United itu menjulang pelbagai kejuaraan termasuk La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Begitupun, kepulangan Ronaldo ke Bernabeu bukan lagi atas kapasiti sebagai pemain tetapi sebagai duta kehormat kelab. Jika beliau menerima tawaran presiden kelab, Florentino Perez, maka Ronaldo dilihat bersedia menamatkan kariernya sebagai penyerang prolifik paling terbilang dalam sejarah.
Ini merupakan satu perkembangan mengejutkan lebih-lebih lagi dengan rekodnya sebanyak 12 gol dalam 15 perlawanan bersama Al-Nassr. Malah, Al-Alami juga dilaporkan bersedia merekrut bek kiri Brazil dan United, Alex Telles bagi menambah sokongan kepada Ronaldo.
Sebelum ini, Ronaldo cuba kembali ke Madrid sama ada menerusi Real Madrid atau Atletico Madrid sebelum menyertai Al-Nassr pada Januari lepas. Bagaimanapun, usaha mendapatkan perpindahan salah satu kelab berkenaan gagal.
Yang pasti, sekiranya Ronaldo benar-benar berbuat demikian, ia sekurang-kurangnya mengesahkan ramalan yang dibuat bekas pengurus Al-Nassr, Rudi Garcia. Tidak lama selepas bekas penyerang Juventus itu menyertai kelab berkenaan, Garcia percaya Ronaldo akan kembali ke Eropah dan tidak akan menamatkan kariernya bersama Al-Nassr.