Advertisement
Cristiano Ronaldo Pacu Al-Nassr Atasi Cabaran Al-Ahli
Asia
MakanBola
Al-Nassr FC

Dua gol Cristiano Ronaldo membantu Al-Nassr mendaki kedudukan Saudi Pro League (SPL) dengan mengatasi cabaran Al-Ahli 4-3 awal pagi ini.

Selepas tewas dua perlawanan awal SPL, Al-Alami mula mengejar kelompok lima teratas liga diketuai pendahulu Al-Ittihad.

Dan sebaik wisel perlawanan ditiup, barisan pemain tuan rumah diketuai Ronaldo mula mengasak kelab yang baru dinaikkan ke saingan utama Arab Saudi itu.

Bekas penyerang Manchester United itu membuka tirai jaringan pada minit ketujuh selepas menyudahkan hantaran bekas pemain sayap Liverpool, Sadio Mane.

Al-Nassr terus melebarkan kelebihan mereka menerusi Anderson Talisca. Pemain-pemain Al-Raqi gagal mengeluarkan hantaran Aymeric Laporte di mana ia disudahkan beliau pada minit ke-17.

Bekas pemain tengah Barcelona, Franck Kessie merapatkan jurang untuk pasukan pelawat pada minit ke-30. Begitupun, tuan rumah kembali menambah kelebihan dua gol menerusi Talisca pada minit akhir babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, bekas pemain sayap Manchester City, Riyad Mahrez menyumbat gol kedua Al-Raqi pada minit ke-50.

Bagaimanapun, Ronaldo memastikan kemenangan Al-Nassr dengan gol kesembilan dalam liga pada minit ke-52. Gol lewat Feras Albrikan pada minit ke-87 sudah terlambat untuk menyekat kemenangan tuan rumah.

Kemenangan ini menyaksikan Al-Alami menduduki tangga kelima liga selepas tujuh perlawanan. Manakala Al-Ahli pula jatuh ke tangga keenam liga.

Kini, fokus Al-Nassr seterusnya ialah melepasi pusingan awal King Cup of Champions. Mereka akan berdepan pasukan divisyen dua Arab Saudi dari Madinah, Ohod pada awal pagi 26 September ini.