Jose Mourinho menyifatkan spekulasi perpindahan membabitkan Cristiano Ronaldo dan kelabnya, Fenerbahce sebagai mengarut.
Sebelum ini, beberapa portal media melaporkan Mourinho berharap dapat menarik penyerang berusia 39 tahun itu kembali mewarnai saingan bola sepak Eropah.
Malah, khabar angin ini diperkuatkan lagi dengan satu laporan bekas pengurus Manchester United itu menghubungi Ronaldo menerusi telefon.
“Adakah anda gembira di sana? Ada khabar angin yang mengatakan anda mahu meninggalkan (Al-Nassr). Jika anda pergi, mahukah anda datang ke Fenerbahce?” katanya dalam perbualan tersebut.
Sebaik ditanya tentang khabar angin berkenaan, Mourinho menyifatkan ianya tidak berasas sama sekali. Beliau percaya jika Ronaldo ke Istanbul sekalipun, bekas penyerang The Red Devils itu datang sebagai pelawat untuk menziarahinya.
“Cristiano (Ronaldo) mungkin datang ke Istanbul untuk makat kerana ia berada di tengah-tengah laluan antara Arab Saudi dan Portugal.
“Atau mungkin beliau akan mengambil jet peribadi dan datang berjumpa kawan lamanya, Jose Mourinho di mana kami boleh makan di hotel saya,” katanya seperti yang dilaporkan Sports Illustrated.
Mourinho turut menyifatkan khabar angin yang mengaitkan Ronaldo dengan perpindahan ke Fener patut dihentikan. Ini kerana beliau melihat penyebaran khabar tersebut sebagai kerja sia-sia.
“(Saya ingin katakan) kepada orang yang mengatakan beliau (Ronaldo) akan bermain untuk Fenerbahce, sama ada mereka tidak tahu apa yang mereka tulis atau gembira menyebarkan berita yang bersifat mengarut,” ujarnya.
Ronaldo dan Mourinho pernah bekerjasama semasa bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2013. Tempoh tersebut menyaksikan Los Blancos meraih kejuaraan La Liga dan Copa del Rey.
Tempoh ini juga menyaksikan Ronaldo merekodkan 168 gol dan 49 bantuan gol. Mourinho kemudiannya meletak jawatan pada 2013 dengan Carlo Ancelotti dipilih sebagai penggantinya di Bernabeu.
Ronaldo masih memiliki kontrak dengan Al-Nassr sehingga 30 Jun 2025. Walau bagaimanapun, ramai peminat menjangkakan kelab Arab Saudi itu bakal memperbaharui kontraknya.