Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo sekali lagi kecewa apabila gagal mara ke final Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini selepas pasukan beliau, Al-Nassr tewas 3-2 kepada wakil Jepun, Kawasaki Frontale di peringkat separuh akhir ACLE.
Tatsuya Ito meletakkan Frontale di hadapan pada minit ke-10. Sadio Mane menyamakan kedudukan buat tuan rumah 18 minit selepas itu.
Yuto Ozeki dan Akihiro Ienaga masing-masing menyumbat satu gol bagi menjadikan kedudukan 3-1 buat juara Emperor’s Cup 2023 itu.
Ayman Yahya merapatkan jurang pada minit ke-87. Ronaldo berpeluang menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan tetapi berjaya disekat penjaga gol Jepun, Louis Yamaguchi.
Kekalahan ini menyaksikan Ronaldo sekali lagi kempunan meraih trofi ACLE sejak menyertai Al-Nassr pada Januari 2023.
Meskipun kecewa, Ronaldo tetap bangga dengan usaha yang dipamerkan Al-Nassr sepanjang perlawanan itu.
“Kadang-kadang kita perlu tunggu impian (jadi realiti). Saya bangga dengan pasukan ini dan segalanya yang kita berikan di atas padang.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang percaya kepada kita dan sentiasa bersama kita sepanjang kejohanan. Sokongan anda cukup bermakna,” katanya di X.
Kini, fokus beliau dan Al-Nassr beralih pula kepada saingan Saudi Pro League (SPL). Mereka akan menentang pendahulu liga, Al-Ittihad pada 8 Mei ini.
Ronaldo dan Al-Nassr perlu menang dalam perlawanan tersebut jika ingin terus menghambat musuh tradisi mereka itu. Ini kerana Al-Ittihad memiliki kelebihan lapan mata selaku pendahulu liga.