Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui tempoh rehat selama tujuh minggu memberi kesan kepada pasukan itu.
Tempoh rehat yang lama ini berlaku disebabkan penundaan aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 17 Ogos lalu.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Perak itu hanya dapat dilangsungkan selama beberapa minit sebelum ditangguhkan. Penangguhan dibuat atas faktor cuaca hujan lebat dan keadaan padang yang digenangi air.
Ini menjadikan aksi liga menentang Negeri Sembilan FC pada 14 September sebagai aksi kompetitif pertama Perak selepas tempoh berkenaan.
Yusri mengakui tempoh tersebut sedikit sebanyak menjejaskan persiapan The Bos Gaurus. Pada masa sama, beliau juga gembira kerana pemain-pemain yang cedera kembali pulih dan menyertai sesi latihan.
“Agak terjejas kerana kami antara pasukan yang tidak beraksi selama tujuh minggu sebenarnya disebabkan penundaan perlawanan dengan JDT tempoh hari.
“Jadi, selepas itu selama empat minggu, persiapan pasukan bagi saya agak terjejas. Dan pada masa sama, kita bersyukur segala kelemahan dikenal pasti dan pemain-pemain yang cedera kembali pulih untuk beraksi menentang Negeri Sembilan pada esok hari,” katanya kepada Nadi Bola.
Yusri turut melihat aksi liga menentang Sang Rusa sebagai kunci kembali beradaptasi dalam situasi perlawanan sebenar sebelum aksi seterusnya di Ipoh pada 21 September.
Meskipun beraksi di gelanggang lawan, beliau tidak melihat itu sebagai halangan buat anak buahnya memburu tiga mata penuh.
“Walaupun kita hadir sebagai pemain lawan, saya harap pemain dapat menggunakan tempoh 90 minit (untuk memburu kemenangan) sebelum kita beraksi di gelanggang sendiri pada minggu hadapan,” tambahnya.
Perak dan Negeri Sembilan bakal berentap di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. The Bos Gaurus dijangka ingin mengulangi kejayaan menewaskan Sang Rusa 1-0 di gelanggang sama pada Oktober 2023.