“Dah Semak Dengan Kelab, Maklumat Pemain Warisan Tidak Betul”
MakanBola
KV Kortrijk

Maklumat seorang pemain yang dikatakan memiliki pertalian darah dengan Malaysia disahkan tidak benar.

Perkara ini disuarakan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad mengenai sosok yang dikatakan memiliki pertalian darah dengan Malaysia.

Laman Frfuturetalents telah memuat naik biodata mengenai seorang pemain Cardiff City, Isaac James Davies yang dilaporkan berdarah Malaysia.

Pemain berusia 23 tahun itu kini menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk FC secara pinjaman sejak Ogos 2023.

Pemain versatil posisi serangan ini dikatakan memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi susur galur ibunya dengan datuknya merupakan warganegara Malaysia.

Amin Fuad memaklumkan bahawa telah melakukan semakan dengan pihak kelab dan mendapati bahawa maklumat yang dinyatakan tidak betul.

“Dah semak dengan kelab, maklumat tersebut tidak benar,” ujar Amin di laman X.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah memberitahu bahawa ramai pemain warisan yang dicanang di media sosial adalah palsu.

“Kebanyakan yang ada di media sosial itu tak betul dan bukan pun berdarah Malaysia.

Pihaknya juga sudah memeriksa latar belakang beberapa pemain yang dikaitkan dan mengesahkan bahawa mereka tidak memiliki pertalian darah dengan Malaysia.

“Mestilah ada cek. Macam contohnya Ferdy Drujif, exco saya sudah berhubung tetapi sampai sekarang dia tidak beri maklum balas.

“Dia pun mungkin tidak berdarah Malaysia, hanya ada laman di media sosial yang berkata dia memiliki pertalian. Banyak informasi yang palsu,” jelas Hamidin kepada MakanBola.

Beliau bagaimanapun terbuka dan memberi ruang untuk Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon membuat penilaian selayaknya terhadap pemain warisan yang berpotensi mewakili negara.