Sedang tular ketika ini di media sosial dakwaan mengatakan pasukan berpangkalan di Lembah Klang, PJ City akan menarik diri daripada saingan Liga Super 2023.
Tidak tahu dari mana punca spekulasi ini, namun pihak yang menyebarkannya begitu yakin bahawa tiada lagi PJ City, satu-satunya pasukan Liga Super yang mempertaruhkan sepenuhnya kudrat pemain tempatan dalam kancah Liga Malaysia musim depan.
Malah, menguatkan lagi dakwaan, PJ City katanya akan dijual dan slot kelab itu akan diberikan kepada sebuah pasukan Liga M3 yang akan melengkapkan kuota 18 pasukan Liga Super bagi musim 2023.
Spekulasi ini sebenarnya telah lebih awal sampai ke pengetahuan pengurusan PJ City dan mereka pada awalnya mahu membiarkan sahaja khabar angin itu berlalu pergi, bagaimanapun memilih untuk bersuara apabila ia semakin hangat diperkatakan.
Dalam satu laporan disiarkan portal The Star, Ketua Pegawai Eksekutif PJ City, S.Ganesh menafikan dakwaan kelab itu mahu menarik diri dan menganggap ia sebagai tidak berasas apatah lagi mereka telahpun melengkapkan proses pelesenan kelab tanpa sebarang masalah.
“Kita akan kekal bermain di Liga Super, kelab ini bukan untuk dijual. Biasalah ada pihak mahu menyebarkan khabar angin, cerita yang tidak berasas dan menangguk di air yang keruh.
“Memang ada sedikit perubahan yang kita buat, tetapi tidaklah sampai kelab ini mahu dijual. Ia cuma penstrukturan dalaman, satu perubahan kecil di dalam penstrukturan untuk memastikan kelab ini berdaya maju secara komersial.
“Masih terlalu awal untuk berkongsikan apa perubahan tersebut, saya tiada hak untuk berkongsi mengenainya dengan sesiapa buat masa ini. Kita akan mengumumkan apabila tiba masanya,” ujar Ganesh.
Tambahnya lagi, “Kita telah melengkapkan pelesenan kelab Malaysian Football League, selain mematuhi segala garis panduan untuk permohonan lesen AFC. Jadi tiada sebab untuk mengatakan kelab mahu menarik diri.
“Seperti saya katakan, kita hanya mahu memastikan kelab berdaya maju secara komersial, dan mengurangkan beban pemilik kelab iaitu Qi Group.”
Sebagai rekod, musim ini adalah musim kedua PJ City, yang dahulunya dikenali sebagai MISC-MIFA menyandarkan sepenuhnya kepada tenaga pemain tempatan untuk memberikan cabaran di Liga Super.
Dan sebelum ini Presiden kelab Dato’ Sri Subahan Kamal telahpun menegaskan mereka akan mengekalkan prinsip sama, iaitu Yakini Lokal meskipun MFL membenarkan setiap pasukan mendaftarkan sembilan pemain import.