Pemain tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham menghargai setiap detik beraksi buat pasukan itu selepas sekian lama tidak beraksi.
Bagi Danial, beliau hanya mahu dapatkan kembali keseronokan beraksi dan dalam masa yang sama mendapatkan minit permainan selepas gagal melakukannya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Apa yang saya nak, saya nak dapatkan balik saya punya keseronokan dapat main bola balik. Dapat minit bermain. Alhamdulillah bawah jurulatih Aidil Sharin, dia bagi peluang tu. Dia tak letak tekanan kepada saya.
“Benda tu yang saya bersyukur sangat di Kuching City. Saya nak balas balik kepercayaan coach Aidil dan kalau boleh saya nak bagi yang terbaik apa yang saya ada. Apa yang Allah beri bakat kepada saya, saya cuma nak bagi yang terbaik,” jelas Danial ketika ditemubual Harimau Malaya selepas aksi Liga Super di antara Perak FC dan Kuching City semalam.
Perlawanan sengit di Stadium Negeri Perak itu berkahir dengan kemenangan berharga buat Kuching City dengan keputusan 2-1.
Danial Amier menyerlah bersama Kuching City dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan hantaran-hantaran tepatnya acap kali menggoyahkan benteng pasukan lawan.
Kuching City akan meneruskan saingan Liga Super musim ini dengan aksi bertemu Penang FC pada 11 Ogos depan di laman sendiri.