Pemain tengah Kuching City FC, Danial Amier Norhisham mahu membalas kepercayaan yang diletakkan oleh pengendali pasukan, Aidil Sharin ke atas dirinya untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
Danial yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjadi sandaran utama Aidil Sharin di bahagian tengah Kuching City.
Bagi Danial, beliau mahu menggunakan peluang yanga ada ini untuk mendapatkan minit permainan selain membalas kepercayaan yang diberikan Aidil.
“Untuk saya sendiri, peluang yang ada ini saya akan gunakan betul-betul untuk mendapatkan minit permainan dan momentum perlawanan yang lebih baik.
“Ini pun kali pertama saya di bawah bimbingan beliau (Aidil Sharin), dan beliau seorang jurulatih yang sangat positif dan tidak terlampau beri tekanan kepada pemain, sentiasa beri motivasi kepada kami.
“Jadi, saya akan cuba balas kepercayaan diberi untuk terus membantu pasukan ini di tahap lebih baik”, katanya kepada MFL.
Kuching City kini berada di landasan terbaik untuk mencipta kejutan dalam saingan Liga Super musim ini apabila mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terakhir liga.
Kuching City kini berada di kedudukan ke-6 Liga Super dengan mengumpul 10 mata selepas 7 perlawanan yang diharungi.
Penang FC menjadi lawan mereka pada aksi Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada jam 4.45 petang esok (11 Ogos) di Stadium Negeri Sarawak.