Pemain pertahanan Sabah FC, Daniel Ting seolah-olah memberi bayangan ini kali terakhir beliau menyarung jersi pasukan itu.
Hal ini dinyatakan beliau kepada semua pemain Sabah FC II sebelum aksi Piala MFL antara pasukan itu dengan Negeri Sembilan FC pada 14 April lalu.
“Hari ini (mungkin) kali terakhir kita boleh pakai jersi Sabah. Saya tak tahu, kita semua tak tahu. Saya mahu menang untuk pasukan buat kali terakhir,” katanya.
Video kata-kata semangat Daniel buat barisan pemain Sabah II dimuat naik di platform media sosial rasmi pasukan itu.
Selain Daniel, skuad muda Sang Badak turut diperkuatkan dengan kehadiran Jafri Firdaus Chew dan Park Tae-soo.
Sabah II meraih kemenangan 3-1 ke atas Sang Rusa. Daniel, Azhad Harraz Arman dan Jafri mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Ramai penyokong Sabah merasa sedih bila mendengar ucapan beliau. Ini kerana ia dilihat bayangan bahawa Daniel tidak akan bersama pasukan itu pada musim hadapan.
Seorang penyokong bernama Kent Jefferson melihat ucapan beliau sebagai petanda masa depannya bersama Sabah.
“Petunjuk terbesar daripada Daniel Ting,” katanya di ruang komen Facebook Sabah. Seorang lagi penyokong bernama Walter FK turut senada dengan Kent.
“Sedih pula dengar ucapan terakhir Daniel Ting. Harap-harap ramai pemain Sabah FC akan kekal,” ujarnya.
Aksi Piala MFL merupakan aksi terakhir Daniel bersama Sabah untuk musim 2024/25. Ini kerana beliau masih menjalani penggantungan dua perlawanan Liga Super bersama Saddil Ramdani.
Pada masa sama, Sang Badak boleh menghela nafas lega kerana Jafri dan Tae-soo sudah bebas daripada penggantungan. Kehadiran mereka dijangka ditagih untuk aksi menentang Perak FC pada 20 April.