Pemain pertahanan Sabah FC, Daniel Ting bersedia menggalas peranan yang ditinggalkan pemain pertahanan, Matthew Davies dalam skuad kebangsaan.
Hari ini, jurulatih Kim Pan-gon membawa barisan 24 pemain Harimau Malaya yang bakal beraksi untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman.
Duo berpengalaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Junior Eldstal dan Davies terpaksa disisihkan Pan-gon selepas mengalami kecederaan.
Ini menyaksikan bahagian sisi pertahanan kanan bakal digalas oleh Daniel dengan Azam Azmi Murad sebagai pemain sokongan.
Meskipun sedar ini satu peranan yang besar, beliau percaya beliau mampu melakukannya demi negara.
“Jika itu yang apa yang jurulatih (Kim Pan-gon) mahu saya lakukan, itu tidak jadi satu masalah. Seperti yang anda katakan, saya pernah beraksi di situ sebelum ini, jadi apa saja yang jurulatih nak, kita akan ikut.
“Dan saya fikir itu bukan posisi semulajadi saya (bek kiri) tetapi saya gembira melakukan apa saja peranan yang diperlukan (jurulatih),” katanya kepada media sebelum skuad negara berlepas ke Oman hari ini.
Ini bukan kali pertama bekas pemain pertahanan KL City FC itu menggalas peranan sebagai bek kanan dalam Harimau Malaya.
Sebelumnya, Daniel diturunkan di posisi sama apabila berdepan pasukan gergasi Asia, Korea Selatan dalam saingan Piala Asia pada Januari lalu.