Advertisements
Darren Lok Kecewa Kesilapan Sama Berulang Dua Kali
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang kebangsaan, Darren Lok mengakui sentuhan penyudah yang mengecewakan mengakibatkan Malaysia tewas dua kali di tangan Oman.

Aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa lepas menyaksikan skuad negara banyak menghasilkan hantaran ke arah gawang Oman.

Malangnya, kebanyakan hantaran yang dilakukan berjaya disekat penjaga gol Oman, Ibrahim Al-Mukhaini sebelum sampai kepada Darren dan Romel Morales.

Sebaliknya, Oman bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk menyumbat dua gol menerusi Omar Al-Malki dan Mohammed Al-Ghafri.

Meskipun skuad negara beraksi dengan baik pada separuh masa pertama, Darren melihat kelemahan penyudah mengakibatkan Malaysia gagal meraih keputusan positif.

“Ia satu perlawanan yang baik. Kita mengawal banyak aspek permainan tetapi kita bergelut mencipta peluang penyudah yang baik.

“Terdapat beberapa beberapa peluang tapi saya fikir penjaga gol (Ibrahim Al-Mukhaini) melakukan tugas yang baik dengan menyekat semua hantaran kita.

“Pemain kita melakukan tugas yang baik dalam mencari peluang tetapi kita tidak dapat sudahkan hantaran akhir. Dan kita dihukum dan ia sesuatu yang mengecewakan,” katanya kepada MakanBola selepas perlawanan.

Harimau Malaya kini perlu menang baki dua perlawanan Kumpulan D sekiranya ingin layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Malaysia bakal turun menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun sebelum menerima kunjungan Taiwan pada 11 Jun.