Darwin Nunez Tak Sangka EPL Sebenarnya Terlalu Susah
Dunia
Liverpool FC
Advertisements

Sejak tiba di Liverpool dengan yuran perpindahan £85 juta (RM442 juta) pada musim panas lepas, Darwin Nunez berdepan banyak kesukaran termasuk kesukaran menjaringkan gol. Dan ini menyebabkan bekas penyerang Benfica itu mengakui EPL sebenarnya satu liga yang sukar.

Dalam tempohnya menyesuaikan diri bersama Reds, ia tidak dibantu dengan tindakannya menanduk bek tengah Crystal Palace, Joachim Andersen. Tindakan tersebut mengakibatkan dirinya digantung tiga perlawanan.

“Ia merupakan satu perubahan besar. Di sini, liganya lebih kuat, lebih kompetitif. Saya tidak menjangkakan ia sekuat begini.

Advertisements

“Nico Otamendi (bekas bek tengah Manchester City dan rakan sepasukan Nunez di Benfica) pernah memberitahu saya tetapi saya masih tidak menjangkakannya.

“Ia amat mengagumkan saya. Tiada pasukan yang teruk. Semua pasukan berada dalam liga ini atas satu sebab.

Advertisements

“Bola sepaknya jauh lebih sukar daripada di Portugal dan lebih kompetitif. Anda tidak akan mempunyai masa yang banyak,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Sky Sports.

Musim ini menyaksikan Nunez menyumbat 10 gol daripada 25 perlawanan, amat sedikit jika dibandingkan dengan sumbangan penyerang Senegal, Sadio Mane. Mane menyumbat 23 gol dalam semua kejohanan musim lepas sebelum dijual kepada Bayern Munich musim panas lepas.

Advertisements

Atas sebab itu, ramai penyokong Reds merasa tidak puas hati dengan rekod golnya setakat ini. Tetapi Nunez memberi jaminan apabila dia sudah menyesuaikan diri dengan EPL, dia mampu mengisi lompang yang ditinggalkan Mane.

“Saya tidak rasa saya bermain baik ketika ini, tapi saya sentiasa mahu memperbaiki diri. Saya cuba memperbaiki diri setiap hari.

Advertisements

“(Jurgen) Klopp tahu kekuatan saya ialah kepantasan, berlari masuk ke dalam ruang. Selain itu dia juga beritahu supaya saya lebih tenang ketika bermain, itulah yang saya perlu lebih lakukan.

“Dia beritahu saya perlukan itu, dan saya pemain yang ada banyak kualiti. Jadi itu antara lain yang dimahukan daripada saya – dan sudah tentu, saya perlu jaringkan gol.

“Dia memberitahu saya bahawa saya perlu tenang dalam perlawanan ketika mahu melakukan penyudah. Dia mahu saya agak lambat sedikit, kerana saya menyepak dengan rasa marah, kerana jika saya menyepak dengan marah atau tergesa-gesa, ia sentiasa tidak akan menjadi.

“Dia juga meminta saya mengambil sedetik lebih lama, dengan tenang, dan saya akan menjaringkan gol,” tambahnya.

Dengan Liverpool bakal bertemu Wolverhampton Wanderers esok di Molineux, ramai penyokong Reds berharap Nunez dapat menjadi lebih berbisa di hadapan gawang lawan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram