Datuk Bandar Gwangju, Kang Gi-jung memohon maaf kepada penyokong susulan isu kualiti padang Stadium Piala Dunia Gwangju yang teruk.
Nama Stadium Piala Dunia Gwangju menjadi sebutan peminat bola sepak apabila stadium tersebut tidak dipilih sebagai venue aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Gwangju FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 22 Oktober ini.
Keputusan tersebut dibuat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mendapati kualiti padang stadium berkenaan amat teruk. Susulan itu, perlawanan berkenaan dipindahkan ke Stadium Yongin Mireu yang terletak 234 kilometer dari Gwangju.
Mutu padang Stadium Piala Dunia Gwangju turut mendapat kritikan jurulatih FC Seoul, Kim Gi-dong selepas tamat aksi K-League 1 membabitkan Gwangju dan kelabnya baru-baru ini.
“Stadium berada dalam keadaan yang cukup teruk. Jika tiada rumput dan ia rata, ia mungkin selesa (untuk pemain bermain) tetapi para pemain terlalu risau dan ini memberi kesukaran kepada kaki pemain,” katanya.
Kini, Gi-jung memohon maaf atas kesulitan yang perlu diharungi penyokong untuk aksi ACLE membabitkan Gwangju dan Harimau Selatan akibat pertukaran venue berkenaan.
Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa Gwangju akan membentuk satu pasukan petugas khas untuk menghasilkan manual pengurusan padang yang baik.
“Kita akan bentuk satu pasukan petugas khas yang ditugaskan untuk menghasilkan manual pengurusan padang,” katanya seperti yang dilaporkan Korea Football News.
Isu padang Korea Selatan yang kurang bermutu bukan sekali mencetuskan rasa tidak puas hati pemain dan jurulatih K-League.
Sebelum ini, bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard tidak teragak-agak mengkritik kualiti padang Stadium Piala Dunia Seoul yang teruk.
Pandangan ini turut dikongsi kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min dan rakan sepasukan Lingard di FC Seoul, Ki Sung-yueng.