Penyerang Persib Bandung, David da Silva membuktikan bahawa beliau masih lagi berbisa apabila tidak henti-henti meledak gol buat kelabnya dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Bekas penyerang berbisa pasukan Terengganu FC itu sebelum ini menjadi mangsa kecaman segelintir penyokong pasukan Terengganu apabila beliau gagal mempamerkan ketajaman di hadapan gol ketika beraksi di Malaysia.
Bersama Persib musim ini, David da Silva sudah meledak 5 gol dalam 5 penampilan liga. Beliau berhijrah ke pasukan Persib selepas meninggalkan pasukan Terengganu pada akhir kontrak beliau dan masuk ke Persib ketika Liga Indonesia berada di pertengahan musim.
Ketika berada di Terengganu FC, David da Silva bukanlah seorang penyerang yang menjadi pilihan para peminat di sana yang pada ketika itu lebih gemar melihat aksi Jordan Mintah yang berada di Terengganu FC II.
Sesetengah penyokong Terengganu melihat bahawa penyerang dari Brazil itu sebagai seorang penyerang yang malas berlari dan gagal melunaskan tanggungjawab sebagai seorang penyerang.
Namun begitu rekod jaringan yang dihasilkan oleh David da Silva di Terengganu juga boleh dibanggakan apabila berjaya menjaringkan 7 gol daripada 15 penampilan. Jodoh beliau tidak panjang bersama Sang Penyu apabila dilepaskan pada tamat musim lalu.
Kini ketajaman penyerang berusia 32 tahun itu semakin menjadi-jadi di Indonesia. Hampir 80% jaringan Persib Bandung musim ini dijaringkan oleh David Da Silva. Beliau dijangka akan terus meledak buat Persib di bawah kendalian jurulatih baharu iaitu Luis Milla.