Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula memberi bayangan bakal meninggalkan dunia bola sepak.
Nama penyerang berusia 37 tahun itu amat dikenali peminat bola sepak Malaysia kerana beraksi untuk beberapa kelab tempatan.
Antara kelab yang pernah diwakili de Paula dalam Liga Malaysia ialah Selangor FC, KL FA (kini KL City FC), Perak FC, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Melaka FC.
Kini, beliau memberi bayangan bahawa inilah masa terbaik buat dirinya untuk menggantung but dan membuka babak baru kehidupan.
“Terima kasih bola sepak atas cinta yang anda berikan kepada saya. Kepada rakan-rakan yang anda perolehi sepanjang perjalanan, terima kasih banyak atas kesetiaan dan kasih sayang anda.
“Dan kepada mereka yang bersikap khianat, terima kasih juga kerana anda mengajar saya untuk menjadi lebih kuat dan lebih banyak lagi. Saya tidak akan pernah melupakan emosi dan pelajaran yang diberikan bola sepak kepada saya!” katanya menerusi satu hantaran di Instagram awal pagi tadi.
De Paula turut berterima kasih kepada rakan dan pemilik agensi Etminan Brazil, Valdir Sousa. Ini kerana Sousa banyak membantu beliau terutama dari segi bimbingan dan nasihat sepanjang karier bola sepaknya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan saya dan ahli perniagaan Valdir (Sousa) yang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi, bimbingan yang bijak dan persahabatan yang setia adalah asas dalam setiap langkah perjalanan profesional saya.
“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai seseorang yang begitu berdedikasi dan boleh dipercayai di sisi saya,” tambahnya lagi.
Sebaik saja hantaran tersebut disiarkan di platform Instagram, ramai pemain dan peminat mengucapkan selamat berjaya kepada beliau. Antara yang berbuat demikian ialah Endrick dos Santos, Leandro dos Santos dan Hafiz Ramdan.
Sepanjang berada di Malaysia, penyerang berdarah Brazil itu pernah menjulang gelaran juara Piala Malaysia (2015) bersama Selangor, Liga Perdana (2017) bersama KL FA dan Liga Super (2021) bersama JDT.
De Paula juga pernah bergelar pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2017 selepas menyumbat 27 gol pada musim berkenaan.
Selepas diberi status sebagai pemain naturalisasi pada 2021, beliau mewakili Harimau Malaya sebanyak 12 kali dan menyumbat satu gol.