Hasrat penyokong Terengganu untuk melihat debut pemain bintang sensasi pasukan, Liridon Krasniqi beraksi dalam aksi Piala Sumbangsih tertangguh apabila beliau tidak akan beraksi pada perlawanan tersebut.
Pemain berusia 31 tahun itu dibawa masuk secara pinjaman daripada JDT musim ini bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan.
Namun begitu, khidmat beliau tidak dapat digunakan tatkala skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dalam misi memburu trofi pertama musim ini.
Beliau mengesahkan bahawa tonggak tinggi lampai itu tidak dapat diturunkan bagi mematuhi persetujuan yang dicapai dalam kontrak pinjaman antara pasukannya dengan JDT.
“Sudah tentu kami gembira Liridon dapat beraksi sebagai pemain tengah untuk memperbaiki bahagian tersebut tetapi dia tidak boleh bermain dalam Piala Sumbangsih kerana semuanya tercatat dalam kontrak antara TFC dan JDT.”
“Saya telah menyediakan sesuatu yang berbeza untuk menentang JDT. Harap ia akan berhasil dan kami akan mencatat kemenangan pertama dalam Liga Malaysia,” katanya kepada Arena Metro.
Steinbruckner juga mengesahkan akan kehilangan dua lagi pemain selain Krasniqi, termasuklah tonggak tengah import, Habib Haroon dan Faiz Nasir.
Katanya, Habib direhatkan antara dua hingga ke tiga minggu kerana kecederaan hamstring manakala pemain sayap lincah, Faiz Nasir belum cergas sepenuhnya.
Piala Sumbangsih akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Februari ini dalam misi besar kedua-dua pasukan untuk menjulang trofi pertama musim 2023.