Debut Tragis Pemain Perak Ini Berakhir Di Atas Kerusi Roda
Liga Super
TBG Super Fan / Perak FC
Advertisements

Baru sahaja pulih dari kecederaan dan dibawa masuk buat kali pertamanya musim ini. Namun debut pemain Perak FC, Syukri Baharun sememangnya berakhir dengan tragis apabila beliau diterjah dengan agak keras oleh pemain Kuching City FC pada aksi Liga Super semalam.

Akibat dari terjahan keras itu, Syukri terpaksa diusung keluar dan gagal meneruskan permainan walaupun beliau dimasukkan pada lewat permainan iaitu pada minit ke-88 perlawanan.

Syukri yang hadir ke Perak pada awal musim 2023 belum pernah diturunkan untuk pasukan Perak bagi saingan musim ini. Ini kerana beliau mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) pada lutut kiri yang memaksa beliau berehat panjang.

Advertisements

CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsudin ada berkongsi mengenai status terkini Syukri dalam satu video yang dimuatnaik di laman Facebook TBG Super Fans. Video tersebut memaparkan Syukri terpaksa turun dari hotel penginapan dengan menggunakan kerusi roda dan kaki kanannya berbalut.

Pada aksi semalam, Perak berjaya mencipta kemenangan ke atas Kuching City dengan keputusan 2-1. Kemenangan tersebut adalah kemenangan pertama Perak di bawah kendalian jurulatih interim, Yusri Che Lah.

Perak kini berada di tangga ke-11 Liga Super dengan mengumpul 13 mata daripada 17 perlawanan yang telah pun diharungi. Selepas ini, Perak bakal meneruskan aksi Liga Super dengan berdepan tugas sukar menentang Sri Pahang FC pada 30 Julai.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram