Blog
Tan Cheng Hoe kelihatan dalam dilema memilik Natural Defensive Midfielder terbaik.
Advertisements

Apabila berbicara mengenai pemain defensive midfielder atau pemain tengah bertahan, yang terbayang di kepala kita adalah seorang pemain (atau tidak mustahil juga dua orang pemain; bergantung pada keperluan taktikal serta kehendak jurulatih) yang melakukan ‘kerja kotor’ di hadapan barisan back four untuk membantu melindungi pemain-pemain pertahanan daripada asakan serangan pasukan lawan dan juga untuk memberikan kestabilan kepada pasukan.

defensive mid tan cheng hoe Ketandusan Defensive Midfielder : Dilema Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe kelihatan dalam dilema memilik Natural Defensive Midfielder terbaik.

Defensive midfielder turut berperanan mengawal tempo permainan setelah berjaya memintas hantaran pihak lawan ataupun merampas bola daripada penguasaan pihak lawan; sama ada terus ingin melancarkan serangan balas pantas dengan menghantar bola kepada penyerang atau mengitar dulu bola tersebut dengan mengekalkan penguasaan lantas bermain perlahan. Mereka juga dituntut untuk memenangi second ball, membaca-membuat pintasan hantaran cut back pasukan lawan, menghalang gerakan cut inside penyerang lawan dan juga bertugas dalam memulakan transisi daripada pertahanan kepada serangan berdasarkan situasi.

Jenis-Jenis Pemain Defensive Midfielder:

Ada tiga jenis defensive midfielder yang biasa kita lihat di liga-liga bola sepak di seluruh dunia:

Advertisements

1) Pemain bertubuh tegap dan tinggi yang biasanya mempunyai kelebihan fizikal untuk memenangi perebutan bola di udara serta mempunyai bentesan serta terjahan yang keras. Biasanya terdiri daripada pemain-pemain kulit hitam. Contoh; Frank Rijkaard, Patrick Viera, John Obi Mikel, dll…

2) Pemain dengan sosok tubuh sederhana yang mempunyai kawalan bola sangat baik serta positional awareness yang cemerlang untuk memenangi second ball dan bijak dalam membuat keputusan melancarkan serangan ataupun bermain perlahan dahulu. Contoh; Dunga, Didier Deschamps, Roy Keane, Sergio Busquets, dll…

3) Pemain bertubuh kecil-kekar dan juga mempunyai pusat graviti yang rendah. Biasanya mempunyai stamina yang sangat tinggi untuk mengejar bola serta mengejar pemain lawan dan mempunyai technical ability yang tinggi. Contoh; Gennaro Gattuso, Claude Makalele, Edgar Davids, N’golo Kante, dll…

Advertisements

Pemain-Pemain Defensive Midfielder Untuk Skuad Harimau Malaya

Senarai ini mungkin tidak lengkap kerana kesukaran mengakses semula maklumat berkaitan senarai pemain dan juga line up perlawanan-perlawanan lepas Harimau Malaya. Senarai ini mengambil garis masa bermula tahun 2010 (ketika Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki) sehinggalah kepada yang terkini iaitu kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pusingan ke-2 yang baru saja berakhir beberapa minggu yang lalu.

Sekitar tahun 2010-2012/2013, posisi defensive midfielder skuad Harimau Malaya diisi oleh Amar Rohidan dan beliau biasanya bergandingan dengan ‘kapten marvel’ skuad kebangsaan iaitu Safiq Rahim yang lebih berperan sebagai pemain box to box. K. Gurusamy turut pernah menggalas tugas defensive midfielder sewaktu era Datuk K. Rajagobal. Shakir Shaari pernah beberapa kali bermain sebagai defensive midfielder Harimau Malaya dalam garis waktu tahun 2011-2014. Sewaktu Piala AFF Suzuki 2014 di mana Harimau Malaya pada saat itu dibimbing Dollah Salleh, ada beberapa pemain pernah mengisi posisi ini termasuk Gary Steven Robbat, Badri Radzi dan Baddrol Bakhtiar. Nasir Basharudin dan Junior Eldstal turut pernah tersenarai mengisi posisi ini ketika era Dollah Salleh. Dollah pernah memainkan Junior Eldstal sebagai defensive midfielder pada malam berdarah Harimau Malaya dibaham UAE 10-0.

Gary Steven Robbat dipuji Arsene Wenger sebagai pemain yang berpotensi besar dan berbakat

Pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 ketika Malaysia dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee, beliau bergantian memainkan Baddrol Bakhtiar atau S. Veenod sebagai defensive midfielder. Insa bersaudara juga pernah bermain di posisi ini. Kiko Insa pernah beraksi di posisi ini ketika skuad kebangsaan di bawah bimbingan Nelo Vengada manakala Natxo pula bermain (cuma sekali) ketika Tan Cheng Hoe mula mengambil alih. Tan Cheng Hoe pada mulanya gemar memainkan Akram Mahinan di posisi ini. Sewaktu Piala AFF Suzuki 2018, Akram bertindak sebagai defensive midfielder dan Syamer Kutty bertindak lebih sebagai pemain box to box.

Advertisements

Bermula kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Cheng Hoe menggandingkan Azam Azih (lebih defensif) bersama Brendan Gan menentang Indonesia di tempat lawan. Azam tidak dapat bermain menentang Vietnam dan digantikan Halim Saari. Gandingan Azam-Brendan kembali dalam formasi 4-2-3-1 menentang UAE di Bukit Jalil. Sewaktu menentang Thailand dan juga Indonesia, Cheng Hoe mula bermain dengan tiga midfielder iaitu gandingan Syamer-Azam-Brendan. Sekali lagi Azam bertindak lebih defensif untuk memberi kebebasan kepada Syamer dan Brendan untuk bergerak dan bekerja lebih di atas.

Daripada senarai yang kurang lengkap di atas, dapat disimpulkan bahawa pemain defensive midfielder skuad Harimau Malaya sentiasa berubah-ubah – mengikut kecenderungan jurulatih, mengikut prestasi semasa serta mengikut tahap kecergasan pemain. Malah, ada di kalangan pemain-pemain tersebut yang bermain di posisi itu sebagai ‘bidan terjun’ kerana defensive midfielder bukanlah posisi asli mereka di peringkat kelab. Jika Safiq Rahim sungguh dominan di posisi beliau untuk suatu jangka waktu panjang (2009-2017), pemain yang bergandingan dengan beliau sentiasa bergantian – ia bukti nyata bahawa dalam garis masa tersebut iaitu dari tahun 2009-2017, posisi defensive midfielder Harimau Malaya sebenarnya masih tiada pemain yang benar-benar layak, konsisten serta dipercayai untuk mengisi kekosongannya!

Pemain-Pemain Defensive Midfielder Untuk Pasukan Dalam Liga Super

Mari kita bersikap realistik sahaja. Memang benar Malaysia ketandusan baka pemain natural defensive midfielder. Lihat sahaja dalam Liga Super, kebanyakan pasukan dan jurulatih lebih gemar menggunakan khidmat ‘awang import’ sebagai pilihan pertama di posisi ini:

Advertisements

Terengganu FC – Dechi Marcel (pilihan lain – Nasir Basharudin)
KDA FC – Anumanthan Kumar (pilihan lain – Fadzrul Danel, Amirul Hisyam)
Selangor FC – Manuel Konrad (pilihan lain – Safuwan Baharudin, K. Sarkunan, Brendan Gan)
Melaka United FC – Manuel Ott
Perak FC – Leandro Dos Santos
UITM FC – Ousmane Fane
Petaling Jaya City FC – K. Gurusamy
Kuala Lumpur City FC – Akram Mahinan
Penang FC – Khairu Azrin
Sabah FC – Azizzan Nordin
Sri Pahang FC – Azam Azih
JDT FC – Natxo Insa (pilihan lain – Syamer Kutty Abba)

6 daripada 12 pasukan yang bermain dalam Liga Super menggunakan khidmat pemain import untuk menguatkan posisi defensive midfielder. Amat difahami, jurulatih dan pasukan biasanya menagih kualiti fizikal serta kemampuan membaca permainan yang baik daripada pemain-pemain yang berasal dari luar negara ini. Apakah bakat-bakat tempatan tidak cukup bagus hingga tidak mampu bersaing dengan mereka? Tidak juga. Buktinya; ada beberapa pasukan yang masih percayakan khidmat pemain tempatan untuk mengisi posisi ini dan lebih memilih untuk berbelanja membeli ‘awang import’ bagi menguatkan posisi lain dalam pasukan.

Persoalannya; dengan pool yang sangat kecil ini, pemilihan pemain defensive midfielder bagi skuad Harimau Malaya menjadi sangat terbatas – sehingga membawa kepada permasalahan yang sama iaitu: jurulatih kadangkala terpaksa memainkan ‘bidan terjun’ atau pemain yang bukannya natural defensive midfielder di posisi tersebut. Maaf kerana kurang pasti bagaimana keadaannya di Liga Premier tetapi andai kata meskipun pool bagi pemain tempatan yang bermain sebagai defensive midfielder di Liga Premier lebih besar berbanding dengan di Liga Super, mampukah pemain-pemain ini terus bermain mewakili pasukan kebangsaan tanpa merasai intensiti Liga Super terlebih dahulu? Saya rasa kemungkinannya sangat kecil.

Dilemma Tan Cheng Hoe

Sejak tahun 2018 hingga sekarang, kita masih lagi tercari-cari missing puzzle tersebut, kerana faktor kecilnya pool pemain-pemain tempatan bermain sebagai defensive midfielder secara regular serta menjadi pilihan pertama jurulatih mereka dalam Liga Super.

Siapakah pemain yang benar-benar layak serta dipercayai untuk beraksi di posisi defensive midfielder untuk Harimau Malaya?

Cheng Hoe sendiri baru-baru ini telah mengulangi perkara sama yang pernah dilakukan oleh bekas-bekas jurulatih Harimau Malaya sebelum ini iaitu – memainkan pemain yang bukan natural defensive midfielder di posisi amat penting itu. Adakah Nor Azam Azih adalah seorang natural defensive midfielder yang telah dilatih, diajar serta bermain di posisi itu tanpa pernah beralih ke posisi ataupun peranan lain sejak bangku sekolah sehingga intuisi beliau untuk memenangi second ball, untuk berada di posisi terbaik dalam menyerap serangan pihak lawan sudah terbentuk menjadi matang dan hadir secara semula jadi?

Jawapannya – TIDAK.

Azam Azih boleh dan mampu bermain di posisi itu kerana beliau seorang pemain bola sepak yang baik dan mempunyai keupayaan teknikal yang tinggi. Kes beliau sama seperti Baddrol Bakhtiar dan ‘Piya’ – oleh kerana keupayaan teknikal mereka berdua yang tinggi serta bagus, mereka kadangkala dipertaruhkan oleh jurulatih untuk bermain sebagai defensive midfielder. Adakah Azam Azih memberikan yang terbaik apabila bermain sebagai defensive midfielder? Jawapannya – SUDAH TENTU. Tetapi timbul satu lagi persoalan; apakah Harimau Malaya akan mendapatkan hasil yang jauh lebih baik apabila ‘membebaskan’ Azam daripada peranan defensifnya lantas membiarkan Azam lebih di atas – bebas merencanakan serangan dan tidak lagi sentiasa berada di belakang bola, hanya mengandalkan hantaran diagonal beliau?

Penyokong Pahang pasti tahu bagaimana kerja ofensif Azam ketika musim 2018 dan musim 2019 ketika Safuwan Baharudin bermain sebagai defensive midfielder di sisi beliau. Banyak assist yang dihadirkan Azam dan banyak juga gol rembatan jarak jauh yang dihasilkan beliau. Salah satunya adalah rembatan bak peluru ketika perlawanan akhir Piala FA 2018 menentang Selangor di mana Pahang muncul juara. Azam hanya step up sebagai defensive midfielder selepas Safuwan Baharudin berhijrah ke Selangor dan beliau memberikan yang terbaik dalam membantu pasukan Pahang dan mungkin juga yang terbaik untuk Harimau Malaya.

Kesan ketara apabila memainkan seorang pemain yang bukan natural defensive midfielder di posisi tersebut tidak begitu kelihatan apabila menentang pasukan yang setaraf atau mungkin sedikit lebih baik daripada Harimau Malaya (pasukan-pasukan Asia Tenggara) tetapi ianya nyata memeritkan apabila menentang pasukan yang tarafnya jauh lebih berkualiti daripada skuad negara. Contohnya perlawanan menentang UAE di Dubai. Dapat kita saksikan betapa sengsaranya Azam di posisi tersebut. Tambah perit apabila beliau memikul beban tersebut berseorangan sehingga pada suatu masa Cheng Hoe terpaksa menukarkan beliau dengan Syamer yang sebelum itu bermain sebagai box to box. Ini juga keputusan yang janggal dan aneh daripada Cheng Hoe. Mengapa tidak mahu bermain dengan double no.6 (dua defensive midfielder) ketika tahu betapa yakin dan rakusnya UAE mengasak pertahanan kita? Cheng Hoe tetap tegar ingin bermain dengan sistem seorang defensive midfielder.

Harapan Dan Saranan

Seperti kebanyakan pundit, bekas pemain dan penganalisis bola sepak, saya berharap agar Tan Cheng Hoe berjaya menyelesaikan dilemanya untuk posisi defensive midfielder Harimau Malaya pada pusingan ke-3 perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula pada tahun hadapan. Ramai pundit, bekas pemain serta penganalisis bola sepak ingin melihat Azam Azih lebih bebas serta tidak terbebani dengan tugas defensif. Shukor Adan pernah berkata bahawa beliau berasa rugi jika Azam Azih bermain lebih defensif kerana kualiti ofensif pemain tersebut akan dibazirkan. Diharap Tan Cheng Hoe memilih pemain yang tepat untuk posisi defensive midfielder Harimau Malaya tanpa membazirkan kualiti lain yang dimiliki pemain tersebut atau setidaknya pilihlah sistem permainan yang tidak merugikan pasukan dan pemain itu sendiri.

Apakah kita perlu menaturalisasikan seorang lagi pemain untuk memperbaiki posisi defensive midfielder skuad Harimau Malaya yang kini kacau bilau? Berbaloikah usaha itu untuk jangka masa panjang? Atau jalan yang terbaik adalah dengan memperbaiki program pembangunan di peringkat akar umbi dalam melahirkan ramai pemain yang boleh, layak dan konsisten untuk menguatkan posisi defensive midfielder Harimau Malaya suatu hari nanti. Bukan, sebenarnya yang lebih tepat adalah natural defensive midfielder. Tepuk dada, tanya selera.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram