Tak ramai orang sedar untuk mencapai impian bergelar pemain bola sepak profesional bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi bekas pemain pertahanan Selangor dan negara, Razman Roslan, beliau pernah menjadi penggali kubur semasa menyarung jersi Merah Kuning.
Menurut Razman, kerja menggali kubur ini dilakukannya semasa masih bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Jika Merah Kuning tidak menjalani latihan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika itu, Razman bersiap menggali kubur sekiranya ada kematian dilaporkan di kawasan tempat tinggalnya.
Biarpun tidak tahu bilangan sebenar kubur yang digali, jumlah yang digalinya amat banyak. Menariknya, kisah ini turut diketahui bekas kapten Gergasi Merah, Shukor Adan dan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
“Saya pernah jadi penggali kubur. Lepas habis sekolah (SSBJ), masa itu Selangor berlatih di (Stadium) UPM. Pagi kalau tiada latihan, memang kalau ada orang meninggal, saya kena menggali kubur.
“Tengoklah kalau ada, saya kena gali. Kalau saya berlatih, saya berlatihlah,” katanya semasa ditanya duo pengacara, Hafizal Hamad dan Shukor untuk program Nindia Bola edisi Aidilfitri untuk Astro Arena semalam.
Selain mewakili Selangor sebanyak dua kali, Razman juga pernah mewakili Sri Pahang dan Melaka United. Beliau juga pernah mewakili Harimau Malaya dengan mengutip 10 penampilan.
Sepanjang tempohnya bergelar pemain, Razman menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali, Piala FA (tiga kali), Liga Super (dua kali) dan Piala Sumbangsih (tiga kali).