Insiden kad merah mengakibatkan Dewa United tewas mengejut 2-1 kepada Arema FC dalam aksi terbaru Liga 1 Indonesia.
The Deity Warriors berharap dapat meraih kemenangan hari ini bagi membolehkan mereka memintas Barito Putera di tangga ketujuh liga.
Sementara Arema pula berharap dapat memanfaatkan tempoh dua minggu rehat untuk meraih kemenangan pertama sejak 30 September lalu.
Babak pertama menyaksikan Dewa United terpaksa bermain dengan 10 pemain. Ini selepas Ahmad Rusadi menerima kad kuning kedua pada minit ke-39.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain, barisan anak buah Jan Olde Riekerink kental mempertahankan keputusan 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah mendahului pada minit ke-56 menerusi sepakan penalti Gustavo.
Dedik Setiawan melebarkan kelebihan Arema pada minit ke-66 bagi memastikan tuan rumah mendahului 2-0.
Tuan rumah mula cemas apabila The Deity Warriors dianugerahkan sepakan penalti. Alex tenang menewaskan Julian Schwarzer Garcia bagi merapatkan jurang untuk Dewa United pada minit ke-71.
Terdesak, Riekerink memasukkan pemain tengah Indonesia, Egy Maulana Vikri untuk memburu gol penyamaan. Bagaimanapun, keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Lebih malang, Egy menerima kad merah pada minit-minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Dewa United kekal di tangga kelapan dengan Arema (tangga ke-17).
Sementara itu bek tengah negara yang mewakili Dewa United, Junior Eldstal tidak diturunkan dalam perlawanan ini.
Kali terakhir bekas bek tengah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu diturunkan ialah pada 22 September lalu.